PROGRAM SINGGAH SAHUR ZAHIR SEMANGAT KESUKARELAWANAN
USM, PULAU PINANG, 22 Jun 2016 - Program Singgah Sahur Bersama Gelandangan yang telah masuk tahun kelima penganjurannya dilihat mampu memberi impak positif khususnya kepada warga Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menzahirkan semangat kesukarelawanan membantu golongan yang memerlukan perhatian masyarakat.
Demikian jelas Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang berharap amalan yang telah dijalankan ini mampu memberi impak kepada pelajar warga USM dalam memahami nasib golongan gelandangan yang memerlukan pembelaan masyarakat sekelilingnya.
"Pada tahun ini dari pemerhatian kami, golongan gelandangan telah berkurangan dan ini menunjukkan bahawa kerajaan pusat amat prihatin kepada nasib golongan mereka dengan memberikan bantuan yang sewajarnya," kata Omar.
Tambahnya, pada tahun ini juga USM turut mengedarkan makanan bukan sahaja kepada golongan gelandangan tetapi kepada agensi-agensi kerajaan yang mempunyai perkhidmatan 24 jam seperti Bomba, Balai Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan juga Hospital.
"Melalui edaran kepada agensi-agensi ini, USM dapat mengeratkan hubungan silaturrahim bersama mereka yang telah berkorban masa memberi perkhidmatan kepada masyarakat tanpa mengira waktu," katanya lagi.
Program yang bermula jam 1.00 pagi itu melibatkan kira-kira 50 orang pelajar dan 30 orang staf universiti termasuk para pegawai utama USM serta pensyarah yang turut sama mengagihkan makanan kepada gelandangan sekitar Bandaraya Georgetown Pulau Pinang antaranya di Padang Kota, KOMTAR dan kawasan sekitarnya.
Sebanyak 250 bungkus makanan yang dimasak sendiri oleh para sukarelawan pada siangnya yang dibantu oleh Pusat Islam USM diedarkan dalam tempoh tiga jam aktiviti itu berlangsung yang diakhiri dengan bersama-sama sahur di Pusat Islam USM.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan rasa syukur aktiviti ini dapat berjalan dengan lancar dan sempurna."Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua warga USM dalam menggembleng tenaga bersama-sama dalam menjayakan program ini haruslah dipuji dan diberi penghargaan," tambahnya.
Katanya lagi, penglibatan daripada pihak luar seperti Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Persatuan Penduduk Sungai Dua dan pihak polis yang sama-sama turun padang dilihat mampu memberi kerjasama yang lebih erat lagi antara USM dan agensi-agensi luar dalam membantu golongan yang tidak bernasib baik ini.
Yang turut sama dalam program ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan Universiti Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil. P. Shawkataly, Pegawai Undang-undang Dr. Khairul Anuar Che Azmi dan beberapa orang pegawai utama universiti.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa & M.Sadiq Zaim
- Created on .
- Hits: 1279