USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KANSER TULANG PERLU RAWATAN SEGERA

untitledtyuy0001

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Jun 2016 – Kanser  merupakan penyakit yang digeruni yang membawa kepada kematian, namun  boleh dirawat melalui beberapa cara seperti kimoterapi, radioterapi atau melalui pembedahan serta pengambilan ubat-ubatan.

Menurut  Pensyarah dan Pakar Bedah Ortopedik (Onkologi), Jabatan Ortopedik Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Faisham Nu’man Wan Ismail, berdasarkan pendaftaran pesakit kanser di Malaysia pada tahun 2003, terdapat 21,464 pesakit kanser yang baharu didiagnosis dan bilangannya dijangka bertambah dari tahun ke tahun.

“Kanser merupakan penyakit yang disebabkan oleh sel yang tidak normal dan kebanyakannya berlaku apabila perubahan pada gen yang mengawal pembahagian sel.

“Kanser terbahagi kepada dua iaitu ‘primary’ yang sememangnya menyerang mana-mana bahagian tulang, manakala kanser jenis ‘secondary’ pula sebahagian besarnya menyerang bahagian anggota badan selain tulang akibat penyebaran sel kanser (metastatik) seperti berasal dari kanser prostat, payudara, paru-paru, buah pinggang, usus besar dan kelenjar tiroid atau mungkin dari radiasi berion (ionizing radiation) yang juga boleh menjangkiti tulang,” jelasnya.

untitledhj0001

Wan Faisham yang juga Presiden Ortopedik Malaysia berkata, kanser tulang merupakan yang paling digeruni kerana tulang merupakan pendokong utama tubuh dan kerangka badan manusia.

“Cara rawatan yang paling berkesan pada peringkat serius ialah melalui pembedahan untuk menyelamatkan anggota kanser tulang agar tidak merebak kepada tulang-tulang yang lain.

“Peringkat permulaan adalah dengan melakukan pembedahan untuk mengeluarkan tulang yang dijangkiti kanser beserta tisu yang normal di sekelilingnya sebagai  sempadan kanser,” ujarnya lagi.

Tambah Wan Faisham, peringkat seterusnya melibatkan proses rekonstruktif penggantian pada tulang yang dibuang bertujuan mengembalikan fungsi anggota asal melalui ‘Endoprostesis Onkologi Modular’ iaitu rekonstruktif yang menggunakan peralatan tulang gentian.

“Kebiasaannya pesakit tidak menyedari penyakit kanser tulang yang dihidapinya, ianya penyakit senyap sehingga timbul gejala-gejala seperti kebengkakan dan sakit pada bahagian badan yang terkena jangkitan.

“Tanda-tanda lain menghidap kanser tulang ialah seperti sakit yang kuat terutamanya pada waktu malam, hilang fungsi anggota, tulang lebih rapuh dan senang untuk patah, hilang berat badan serta kurang selera makan,” katanya.

Wan Faisham meminta orang ramai agar segera berjumpa doktor sekiranya terdapat tanda-tanda kanser kerana rawatan awal lebih baik dan terkawal daripada terus merebak kepada anggota lain.

Teks / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 2053

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024