DERITA RAKYAT PALESTIN LAKSANA IBADAH PUASA
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Jun 2016 - Seperti di Malaysia, Ramadhan disambut oleh rakyat Palestin dengan memperbanyak amalan ibadah untuk merebut ganjaran pahala berganda yang dijanjikan Allah SWT sepanjang bulan ini.
Malah, motivasi untuk mereka beramal dikuatkan dengan keistimewaan Masjid al-Aqsa sebagai masjid ketiga termulia dalam Islam.
Menurut hadis Rasulullah SAW, ibadah di Masjid al-Aqsa mendapat ganjaran pahala 500 kali ganda.
Rakyat Palestin yang menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Pergigian di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Maher Mahmoud Ahmed Aly Abosadegh berkata, rakyat Palestin yang ingin mengunjungi Masjid al-Aqsa di sepanjang bulan Ramadhan perlu memaklumkan hasrat mereka dan mendapat keizinan regim Zionis Israel.
"Rakyat Palestin yang ingin menggandakan pahala mereka di bulan Ramadhan dengan beribadah di Masjid al-Aqsa perlu mendapatkan permit daripada regim Zionis Israel," katanya.
Jelasnya, permit yang dikeluarkan oleh regim Zionis Israel mempunyai pelbagai jenis dan peringkat. Permit pada hari-hari biasa berbeza dengan permit untuk hari Jumaat, Sabtu, cuti umum dan hari-hari keagamaan seperti bulan Ramadhan.
Tambah Mahmoud lagi, pada bulan Ramadhan, untuk memohon permit masuk ke Masjid al-Aqsa pemohon yang layak hanyalah mereka yang berumur 35-40 tahun sahaja. Lelaki dan wanita dari 13-34 tahun dilarang masuk ke Masjid al-Aqsa atas alasan keselamatan.
"Alasan ini bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana pemuda-pemudi Palestin dalam lingkungan umur ini rata-rata mempunyai rekod polis yang ‘buruk' sama ada pernah ditahan atau dipenjarakan atas pelbagai tuduhan," katanya lagi.
Walaupun dihalang, dihadkan dan menerima banyak sekatan tidak menghalang mereka untuk terus berpusu-pusu ke masjid tersebut untuk mengejar ganjaran pahala di bulan Ramadhan.
Pelajar Palestin yang menyambung pengajian di USM Kampus Kesihatan, Heba A.A. Salleh berpendapat, rakyat Malaysia amat beruntung menjalani ibadah puasa dengan penuh kenikmatan."
Sepanjang saya berada di bumi Malaysia ini, penduduknya bebas menjalankan ibadah tanpa gangguan dan tempat ibadah pula sungguh selesa berbanding penderitaan masyarakat Palestin," katanya yang ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama Naib Canselor USM di Kampus Kesihatan malam tadi.
Pada masa yang sama, Naib Canselor USM turut menyampaikan bantuan kewangan melalui Tabung Khas Palestin kepada yang menyambung pengajian di USM.
Untuk rekod seramai lima orang pelajar Palestin yang sedang menyambung pengajian di USM Kampus Kesihatan.
Teks / Foto: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 961