HARI BERSAMA PELANGGAN PLATFORM JABATAN TEMUI PELANGGAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Jun 2016 – Penganjuran Hari Bersama Pelanggan oleh Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di laluan Farmasi pada hari ini dapat dijadikan sebagai platform untuk mendekatkan jabatan-jabatan yang ada di Kampus Kesihatan USM dengan pelanggan dalaman dan juga luaran.
Menurut Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Pendaftar USM, merangkap Pengerusi Hari Bersama Pelanggan, Noor Hayati Mohammad, penganjuran program seumpama ini dapat memberi peluang kepada pelanggan dalaman memberikan maklumbalas mengenai mutu perkhidmatan yang diberikan sesebuah jabatan.
“Selain itu, penjelasan dapat diberi terhadap permasalahan sistem perkhidmatan serta mengemukakan sebarang aduan atau pemasalahan ketika mendapat perkhidmatan dan rawatan turut diberikan.
“Program yang melibatkan tujuh jabatan yang merangkumi unit-unit di dalam Kampus Kesihatan USM ini merupakan satu usaha bagi mendekati pelanggan bagi mendapatkan maklumbalas atau cadangan serta memberikan hari khas untuk semua pelanggan bagi bertanyakan sebarang kemusykilan dalam perkhidmatan dan rawatan yang boleh diambil tindakan segera,” ujarnya.
Tambah Noor Hayati, kaunter perkhidmatan yang dibuka ialah Jabatan Pendaftar, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), Kaunter Zakat oleh Pusat Islam, Pusat Pengetahuan Komunikasi Dan Teknologi (PPKT), Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Pusat Pengajian Sains Perubatan.
Menurut pengunjung program tersebut, Normah Mat, dengan adanya program seperti ini memberi kemudahan kepada staf serta pelanggan luaran untuk mendapatkan perkhidmatan dengan segera.
“Kemudahan kaunter pembayaran zakat dapat menjimatkan masa kerana kami tidak perlu lagi ke pusat-pusat bayaran zakat atau ke masjid-masjid berdekatan untuk membayar zakat,” katanya.
Teks/Foto: Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 892