PEMANAH USM HARUMKAN NAMA NEGARA
KUBANG KERIAN, 16 Jun 2016 - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Lau Jiun Sien, 24, mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Memanah Terbuka anjuran National University of Singapore (NUS) baru-baru ini.
"Kejohanan pada peringkat antarabangsa tersebut disertai oleh 100 orang peserta memanah remaja dunia dan persaingan untuk merebut tempat utama adalah sengit memandangkan kebanyakan peserta yang menyertai kejohanan tersebut adalah atlet memanah di negara masing-masing," kata Jiun Sien, pelajar Tahun 4 jurusan Sains Sukan dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Di dalam kejohanan tersebut, beliau dinobatkan sebagai Juara kategori Terbuka Wanita dan Juara kategori Terbuka Wanita dalam saingan kalah-mati.
“Sebulan sebelum saya menyertai pertandingan ini, saya menjalani latihan intensif di kampus dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada atlet memanah negara Fatin Nur Fatehah yang juga merupakan pelajar USM Kampus Kesihatan,” katanya.
Tambahnya, ini merupakan penyertaan pertamanya dalam kejohanan NUS dan berbangga kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia serta USM.
“Kemenangan ini bukan milik saya seorang tetapi semua yang telah banyak menyokong dan memberikan semangat kepada saya dalam mengharungi pelbagai cabaran dan saingan dalam sukan ini,” katanya.
Ditanya mengenai rahsia kejayaan dalam membahagikan masa untuk bersukan dan belajar, Jiun Sien berkata dalam bidang sukan, seseorang itu harus mempunyai disiplin diri yang tinggi serta berkeinginan mencapai impiannya untuk mengejar kecemerlangan.
“Mereka yang berdisiplin pasti akan cemerlang dalam bidang sukan tetapi jangan lupa juga terhadap pendidikan untuk kehidupan yang lebih sempurna manakala sukan membantu memberikan kecergasan kepada kita,” ujarnya.
Teks/Foto: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 1374