PROGRAM SINGGAH SAHUR MEMBANTU DAN MENYANTUNI GELANDANGAN
USM, PULAU PINANG, 16 Jun 2016 – Program Singgah Sahur bersama Gelandangan 2016 Universiti Sains Malaysia (USM) kini kembali dengan membuka peluang kepada sukarelawan pelajar dan staf bersama-sama menzahirkan semangat kesukarelawanan membantu golongan gelandangan yang memerlukan perhatian masyarakat.
Dengan bertemakan ‘Mari Bersama kita Membantu dan Menyantuni Orang Lain’ program kali ini akan memberi pendedahan dan bimbingan kepada seluruh warga USM dalam kalangan staf mahu pun pelajar kepada kehidupan sebenar para gelandangan yang memerlukan bantuan dan perhatian masyarakat.
Menurut penyelaras program, Zulkifli Che Hussin, program yang telah masuk tahun keempat penganjurannya ini akan melibatkan seramai 200 orang Briged Sukarelawan USM mengedarkan 400 bungkus makanan untuk gelandangan di Padang Kota, KOMTAR dan kawasan sekitar Pulau Pinang.
“Pada tahun ini program singgah sahur ini turut mendapat kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Yayasan USM dan USM Bikers yang sama-sama akan turun padang mengagihkan juadah sahur kepada gelandangan,” tambahnya.
Jelas Zulkifli lagi, seperti tahun-tahun yang lepas, pengurusan tertinggi USM akan turut serta bersama warga USM menjayakan misi dan visi USM membantu golongan terkebawah selain meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar USM.
“Program ini akan berakhir dengan bersahur beramai-ramai di Pusat Islam USM bersama-sama Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman,” kata Zulkifli.
Program Singgah Sahur bersama Gelandangan 2016 dianjurkan bersama oleh Pejabat Naib Canselor USM, Sekretariat Kampus Sejahtera dan Briged Sukarelawan USM dengan sokongan Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Yayasan USM dan USM Bikers.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1113