4,000 ORANG HADIR IFTAR PERDANA
USM, PULAU PINANG, 14 Jun 2016 - Kira-kira 4,000 orang terutamanya warga pelajar dan staf menghadiri Iftar Perdana bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas di Perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM semalam.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, setiap hari USM menyediakan juadah berbuka puasa termasuk bubur lambuk untuk hampir 2,000 orang dengan juadah disediakan secara gotong royong dan bahan untuk masakan disumbangkan oleh orang ramai.
“Ini adalah tradisi yang yang dilakukan oleh USM sejak lebih 30 tahun lalu. Sekarang pula Pusat Islam USM telah menyediakan tempat ‘one-stop centre’ berupa khemah khas untuk orang ramai menyumbang apa jua bahan untuk menyediakan juadah tanpa diketahui siapa penyumbangnya,” kata Omar.
Tambah Omar, aktiviti memasak bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir biasanya sekitar jam 2.00 petang. Bubur lambuk mula diedarkan kepada warga kampus selepas solat asar. Setiap hari mereka ini akan menyediakan dua jenis nasi dan lauk pauk satu hidangan serta bubur lambuk.
Jelasnya lagi, pembiayaan untuk menyediakan juadah berbuka ini merupakan hasil kutipan Pusat Islam USM sebelum Ramadhan dan sepanjang bulan Ramadhan melalui tabung-tabung yang disediakan termasuk juga dana yang datang dari individu perseorangan dan kos untuk sepanjang bulan Ramadhan ini sebanyak RM150,000.
“Sepanjang Ramadhan ini juga, Pusat Islam menganjurkan pelbagai program ilmiah antaranya kuliah zohor dan 10 malam terakhir Pusat Islam akan mengadakan qiamullail dan sahur bersama,” tambahnya.
Yang hadir sama ialah Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff, ahli Lembaga Gabenor USM Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang Kiyoshi Itoi, Konsul Jeneral Kehormat Pakistan Dato’ Haji Abdul Rafique bin Abdul Karim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dato’ Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd. Noor serta Timbalan-timbalan Naib Canselor dan ketua-ketua jabatan USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1025