USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA AHLI AKADEMIK DAN INDUSTRI MALAYSIA-UK HASILKAN INTELLIREHAB BANTU PESAKIT SARAF

IntelliRehab 10001

KUBANG KERIAN, 13 Jun 2016 - Untuk pertama kalinya, hasil kolaborasi ahli-ahli akademik dan dibantu oleh pihak industri dari negara ini dan United Kingdom akan dapat menghasilkan alat pemulihan fisioterapi yang dikenali sebagai 'IntelliRehab' melibatkan kos sebanyak kira-kira RM7 juta melalui geran kolaborasi Innovate UK Newton-Ungku Omar.

Lima organisasi yang terlibat adalah MIRA REHAB LIMITED dan Brunel University daripada United Kingdom manakala dari Malaysia adalah Proven Pac Sdn Bhd, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). 

Kerjasama transdisiplinari yang dibentuk sebagai konsortium ini memohon tajaan bersama daripada Innovate UK dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT) bagi menghasilkan alat perawatan lanjutan kepada pesakit saraf yang disertakan dengan teknologi sistem pemantauan dari jauh. 

Menurut Pensyarah Perubatan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha yang juga salah seorang penyelidik, pesakit akan dibekalkan dengan peralatan fisioterapi yang dilengkapi 'remote sensor' untuk digunakan di rumah mengikut prosedur fisioterapi yang telah diajar dan dijelaskan oleh pihak fisioterapi hospital. 

"Data yang dikutip daripada alat pengesan terus dihantar ke dalam sistem data untuk dipantau dan dianalisis oleh doktor serta fisioterapi bagi mengenalpasti sebarang peningkatan atau kemerosotan dalam pergerakan pesakit atau berlaku mana-mana kesalahan dalam melakukan senaman pemulihan oleh pesakit.

IntelliRehab 20001

"Projek yang akan mengambil masa selama tiga tahun bermula dari September 2016 hingga September 2019 ini melibatkan tujuh fasa dan USM terlibat secara langsung dalam kesemua fasa bermula daripada proses penyediaan rekabentuk, pengubahsuaian alat, khidmat nasihat kepakaran klinikal, ujian keberkesanan dan pemasaran," katanya.

Tambah Dr. Muzaimi, sektor industri telah menyumbang dana sebanyak RM 2 juta bagi projek tersebut. Buat masa ini, pasukan penyelidik telah menghantar permohonan dana sebanyak RM5 juta kepada Innovate UK dan MiGHT, dan sedang menunggu kelulusan peruntukan bajet sebelum memulakan penyelidikan. 

Seramai enam orang penyelidik daripada USM yang terlibat iaitu dari Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Prof. Madya Dr. Muzaimi Mustapha; Dr. Muhammad Hafiz Hanafi; Jurupulih Cara Kerja, Nurul Wahida Zulkifli dan Noor Asyrani Adnan; Ahli fisioterapi, Lisa Nabihah Mohd Bakar dan Ahmad Faris Musa. 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Hafiz Ya’acob

  • Created on .
  • Hits: 1666

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024