USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

620 STAF USM BERJAYA NAIK PANGKAT

DSC 7163

USM, PULAU PINANG, 28 April 2016 - Buat julung kalinya, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan Majlis Pengiktirafan Universiti bagi mengiktiraf 620 kakitangan USM yang telah dinaikkan pangkat pada suku pertama 2016.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, kakitangan USM perlu mentransformasi cara bekerja mengikut perubahan yang berlaku supaya USM dapat mengekalkan mutu dan kualitinya pada masa hadapan.

“Salah satu transformasi yang akan berlaku ialah transformasi pentadbiran dan pengurusan universiti daripada lebih kurang 8,000 staf bagi memastikan hala tuju USM dapat dicapai dengan tanggungjawab bersama semua pihak.

“Pengurusan prestasi bagi staf dilaksanakan melalui aspek kompetensi dalam bidang tertentu bagi membantu pentadbiran USM, aspek orientasi perniagaan yang menekankan hasil atau pulangan yang diperoleh daripada sesuatu kerja dilakukan dan aspek penjajaran iaitu perkara yang dilakukan mestilah selaras dengan fokus universiti,” jelasnya ketika menyampaikan amanatnya di Dewan Budaya.

Seramai 233 staf dari kumpulan pelaksana, 373 dari kumpulan pengurusan dan profesional dan 14 staf akademik yang naik pangkat telah menerima penganugerahan dan Kit Kemajuan Kerjaya bagi menjadi panduan untuk mencorak keperibadian staf USM.

Sementara itu, Pendaftar USM, Profesor Abdul Aziz Tajuddin berkata, majlis ini bertujuan untuk menzahirkan rasa penghargaan universiti terhadap pencapaian staf dalam kemajuan kerjaya masing-masing di samping menekankan tanggungjawab yang ada pada setiap staf dalam mencapai hasrat USM.

“Kenaikan pangkat ini merupakan satu amanah dan motivasi untuk meningkatkan kompetensi, komitmen dan kewibawaan kerja kakitangan USM untuk membantu pentadbiran universiti,” katanya.

Tambahnya lagi, pembaharuan telah dilakukan untuk kenaikan pangkat melalui beberapa tatacara baru seperti MyTalent dan Work Profiling yang melihat kerja-kerja yang telah dilakukan bagi memastikan ketelusan dalam memilih staf yang dinaikkan pangkat.

Antara yang turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah; dan Bendahari USM, Dr. Rohayati Mohd Isa.

Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 791

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024