ZAKAT BANTU PELAJAR ASNAF – TNC HEPA
USM, PULAU PINANG, 9 Jun 2016 – Zakat sumbangan dari pihak korporat kepada Universiti Sains Malaysia (USM) dapat membantu para pelajar yang tergolong dalam kalangan asnaf bagi menanggung perbelanjaan harian dan juga pembelajaran mereka.
Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor dalam majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Bank Islam (M) Berhad kepada USM melalui Yayasan USM.
“Sumbangan Zakat Bank Islam berjumlah RM50,000.00 pada tahun lalu telah membantu seramai 114 orang pelajar asnaf dan bilangan pemohon zakat semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“HEPA mengambil pelbagai langkah dalam pemilihan pelajar yang layak dan bukan hanya perlu mengisi borang permohonan sahaja malah mereka perlu melalui sesi temuduga oleh pegawai HEPA,” kata Adnan.
“Saya bagi pihak USM mengucapkan terima kasih kepada Bank Islam (M) Berhad atas sumbangan zakat tersebut yang dapat membantu kebajikan golongan asnaf di USM dan mengalu-alukan sumbangan yang berterusan oleh syarikat-syarikat korporat bagi membantu pelajar,” tambah Adnan.
Menurut Penasihat Perniagaan Bank Islam (M) Berhad, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh, penyerahan zakat ini adalah aktiviti tahunan bank dalam menunaikan tanggungjawab sosial khas kepada Institut Pengajian Tinggi Awam.
“Tahun ini kami memperuntukkan RM1 juta untuk zakat kepada Universiti di seluruh Malaysia dan jumlahnya adalah bergantung kepada bilangan pelajar,” kata Wan Ismail.
“Saya percaya setiap kekayaan yang dimiliki ada bahagian dan hak orang yang memerlukan di dalamnya dan pada masa kini, kesedaran masyarakat dalam bersedekah meningkat dari masa ke masa,” tambahnya.
Sumbangan zakat kepada USM yang berjumlah RM50,000.00 ini akan diagihkan oleh pihak HEPA berdasarkan kelayakan pemohon.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Pengurusan Canselori, Mohd Saad Din; wakil Bendahari USM, Salwa Ab Razak; Pengurus Yayasan USM, Fadzilla Bosman; Penyelaras Sekretariat Zakat USM Iswandi Abd Mokmin; dan pegawai-pegawai tertinggi Bank Islam (M) Berhad.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1326