DPP USM PLATFORM MAHASISWA TONJOL BAKAT KEPIMPINAN SUPER HEBAT
USM, PULAU PINANG, 9 Jun 2016 - Penubuhan Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia (DPP USM) pada tahun 2010 telah berlarutan membawa kepada tertubuhnya Parlimen Belia Malaysia dan rentetan daripada itu Parlimen Mahasiswa Malaysia serta kini diikuti oleh universiti-universiti awam yang lain.
Menurut Naib Yang Dipertua 2 MPP USM, Wang Wee Fong, DPP USM merupakan satu platform yang sangat baik dalam melatih dan mengasah bakat-bakat masa depan USM, khususnya dalam kalangan pemimpin pelajar USM.
"Pemerkasaan bakat masa depan sangat penting dalam mencapai aspirasi universiti dan juga negara," katanya.
Jelas pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini lagi, perbahasan oleh pemimpin pelajar secara intelektual membolehkan warga USM secara langsung menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai teras APEX USM yang digariskan oleh pihak universiti dan beliau percaya bahawa impak daripada DPP USM mampu melahirkan kualiti modal insan yang berprestij dan bertaraf global.
Bagi Bendahari MPP USM, Najibah Ismail pula, DPP yang berfungsi sebagai Parlimen Mahasiswa adalah tempat yang baik untuk mahasiswa memberikan pandangan serta pendapat mengenai isu-isu terkini yang dihadapi pelajar.
Katanya, selain mengasah kebolehan pelajar untuk berani bersuara dan melontarkan idea, DPP juga perlu diperkasakan dengan cara bagaimana keseriusan pihak universiti mengambil peduli akan hal yang dibincangkan oleh pemimpin pelajarnya.
"Dengan cara sebegini barulah DPP ini boleh dianggap benar-benar berfungsi dan jika tidak, isu yang dibincangkan hanyalah cakap kosong dan angan semata-mata," ujar pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua 3 MPP USM, Arivanandhan A/L Gunaseelan pula berkata, Parlimen Mahasiswa merupakan pentas yang terbaik untuk wakil-wakil mahasiswa untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka secara rasmi.
"Seorang ahli akan membahaskan beberapa isu atau lebih dikenali sebagai 'usul' dan ahli-ahli lain boleh memberikan pandangan peribadi atas perbahasan yang dilakukan itu.
"Jadi, ini merupakan satu inisiatif yang baik dari pihak USM untuk mendengar pendapat dan pandangan wakil mahasiswa USM dan secara langsungnya pemimpin pelajar akan berasa dihargai," jelas pelajar Pusat Pengajian Sains Fizik ini.
Tambahnya lagi, platform ini akan menyedarkan mahasiswa tentang tanggungjawab mereka kepada negara pada masa akan datang kerana bak kata pepatah, "pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara".
Bagi Pegawai Bertanggungjawab mengurus DPP, Muhammad Syukri Sa'adon, uniknya DPP USM ialah ianya diuruskan sepenuhnya oleh pelajar manakala para pegawai atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) hanya bertindak sebagai sekretariat pelaksana dan Speaker dan Timbalan Speaker mengendalikan mesyuarat yang bersidang.
Jelas lanjutnya, berbeza dengan Universiti Awam lain seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bersidang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dipengerusikan oleh Speaker DUN itu sendiri, DPP USM dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar USM tanpa campur tangan pihak universiti kerana USM menyediakan ruang kepada pelajar untuk bebas melontarkan pandangan, kritikan, idea tanpa dikongkong dan takut kepada pihak universiti.
"Pelajar USM semakin matang dalam berhujah di dalam dewan dan tidak hanya sekadar mengkritik tetapi turut mahir berbahas menggunakan fakta serta hujah dengan idea yang bernas," tambahnya.
Mantan Speaker Dewan Negara, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang juga pernah berkata pada tahun 2013 di USM yang mana inisiatif USM memulakan langkah mewujudkan Dewan Perundingan Pelajar (DPP-Parlimen Mahasiswa) disifatkan sebagai satu kejayaan dalam melatih pelajar kepada satu sistem berhujah yang sepatutnya.
Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1449