USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MATA JULING BOLEH DIRAWAT MELALUI PEMBEDAHAN

untitledgfthdg

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Jun 2016 - Masalah mata juling berlaku apabila salah satu mata memandang lurus manakala satu mata lagi tersasar sama ada juling ke luar, ke dalam, ke atas atau ke bawah.

Masalah ini disebabkan oleh ketidakseimbangan antara dua otot yang memegang bola mata. Salah satu otot akan menarik bola mata lebih kuat hingga menyebabkannya terpesong serta tidak berada dalam keadaan lurus manakala satu otot lagi dalam keadaan rileks.

Menurut Pensyarah Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shatriah Ismail, mata juling terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang pertama ia berlaku sebaik sahaja dilahirkan tetapi manifestasi akan terjadi selepas enam bulan manakala yang kedua berlaku melibatkan orang dewasa akibat kecederaan ataupun penyakit-penyakit yang melibatkan otot yang mengerakkan bola mata.

"Masalah ini mengundang impak kepada penghidapnya, contohnya bagi kanak-kanak yang berumur kurang dari lima tahun, otak tidak menerima rangsangan daripada mata juling yang mengakibatkan penglihatan menjadi kabur selain turut sukar untuk mengagak kedudukan jarak terutama melibatkan objek tiga dimensi seperti jarak anak tangga serta kedalaman longkang dan ini dikenali sebagai stereopsis sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan diri akibat daripada ejekan oleh rakan sebaya.

"Bagi peringkat umur sekolah menengah, mereka akan mengalami kesukaran dalam pelajaran sains apabila tidak dapat menggunakan mikroskop dengan baik kerana memerlukan kedua-dua bola mata berada dalam keadaan selaras. Manakala individu lepasan sekolah, akan mengalami sindrom kurang keyakinan diri apabila berada di universiti dan alam pekerjaan yang mana perlu berhadapan dengan orang ramai," katanya.

Tambah Shatriah, pesakit perlu tampil mendapatkan pemeriksaan mata yang lengkap bagi memastikan diagnosis yang betul. Sekiranya mereka tidak mempunyai masalah rabun atau ambliopia, keadaan mata juling boleh dibetulkan melalui kaedah pembedahan.

“Namun bagi mereka yang mengalami masalah ambliopia atau gejala mata malas, pesakit terlebih dahulu perlu mendapatkan rawatan untuk ambliopia sehingga penglihatan hampir kembali kepada normal  barulah pembedahan boleh dilakukan membetulkan mata juling,” katanya lagi.

Shatriah menegaskan pembedahan mata juling adalah selamat dan kemudahan pembedahan ini terdapat di beberapa hospital kerajaan yang mempunyai kepakaran 'Pediatrik Oftalmologi' contohnya Hospital USM untuk kawasan Pantai Timur selain Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Tuanku Mukriz Cheras serta Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas Kota Kinabalu.

"Sebelum pembedahan dilakukan, doktor pakar perlu membuat perancangan yang teliti. Pesakit perlu menjalani pemeriksaan secara menyeluruh termasuklah pemeriksaan sudut juling. Melalui bacaan ini akan membantu pakar membuat keputusan berapa banyak otot yang perlu dibedah untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Sebanyak 80 hingga 90 peratus pesakit yang menjalani pembedahan mata juling biasanya berjaya hanya dengan sekali pembedahan sahaja manakala sebanyak 10 hingga 15 peratus pesakit sahaja perlu menjalani pembedahan sebanyak dua kali atau lebih disebabkan tahap sudut juling yang tinggi," katanya lagi.

Biasanya pesakit yang selesai menjalani pembedahan akan dibenarkan keluar daripada wad seawal enam jam atau sehari selepas pembedahan bergantung kepada kes yang tiada masalah. Dalam tempoh sebulan pesakit ini perlu mengelak daripada mandi di kolam atau sungai bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Kesedaran mengenai masalah rawatan mata juling perlu disebarkan kepada masyarakat supaya mereka yang mempunyai masalah ini dapat dibantu untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya'acob

  • Created on .
  • Hits: 13339

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024