IKATAN ALUMNI USM SUMATERA UTARA DAN PPA ANJUR ICEST 2016
Kejayaan penganjuran International Conference of Engineering, Social Science and Technology (ICEST) melalui kerjasama sulung antara Ikatan Alumni Sumatera Utara dan Pusat Perhubungan Alumni (PPA) Universiti Sains Malaysia (USM) membuka laluan untuk lebih banyak lagi aktiviti sedemikian dianjurkan pada masa hadapan pada peringkat antarabangsa.
ICEST melibatkan pembentangan kertas kerja dalam bidang Kejuruteraan, Persekitaran dan Teknologi, Sains Sosial dan kertas kerja untuk bidang komputer.
Direktor Jeneral Pembelajaran dan Kemahasiswaan, Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Profesor Intan Ahmad dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa dalam menghadapi Midwest Economics Association (MEA), potensi yang ada perlu dimaksimumkan terutamanya melalui bidang-bidang pendidikan dan penerbitan-penerbitan ilmiah dalam memastikan Indonesia dapat berdiri setanding dengan negara-negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Thailand.
“Persidangan seperti ini adalah penting dalam meningkatkan kualiti penyelidikan dan teknologi melalui tajuk yang relevan dalam pembangunan negara iaitu Exploiting ASEAN Economic Cummunity Potential Through Research of Computer, Environment, Social Science, Engineering and Technology,” katanya.
Timbalan Wali Kota Medan, Ir. Akhyar Nasution pula berharap agar program seperti ini dapat menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada lebih banyak karya penerbitan dalam meningkatkan kualiti sumber manusia melalui pendidikan.
“Penganjuran ICEST 2016 ini sangat baik dan sebolehnya program seperti ini tidak sekadar menjadi medium perbincangan semata-mata malah akan menjadi inspirasi dalam membangkitkan semangat dan motivasi pada masa akan datang,” kata Akhyar.
Yang turut hadir dan menyampaikan pembentangan khas adalah Pendaftar USM yang mewakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Abd. Aziz Tajuddin yang berkongsi peranan yang dimainkan oleh USM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan di Malaysia dalam menuju universiti global melalui Agenda APEX 2020 yang bermula pada tahun 2016.
“Oleh yang demikian, kami sangat mengalu-alukan kerjasama akademik dari Indonesia terutamanya dari jumlah kemasukan pelajarnya ke USM,” tambah beliau.
Program dua hari bermula 23 Mei 2016 disertai oleh 150 orang peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura berlangsung di Gelanggang Mahasiswa, Universitas Sumatera Utara (USU) dan RAZ Hotel, Medan.
Yang hadir sama ialah Ketua Ikatan Alumni USM Sumatera Utara, Profesor Nawawiy Lubis, wakil Alumni USM Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh serta jemputan-jemputan khas iaitu Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Datuk Amizal Fadzli Rajali, Ketua Rombongan ICEST 2016, Profesor Lusianna Andriani Lubis dan Pengarah PPA USM, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Mohamad Kasyfi Mohamad Taufik
- Created on .
- Hits: 1047