USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MERAIKAN KEDATANGAN BULAN RAMADHAN BULAN BARAKAH

untitledt

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Jun 2016 – Ramadhan merupakan bulan yang sering dikaitkan sebagai bulan yang dipenuhi dengan keberkatan dan kerahmatan untuk mengejar serta mencari ibrah yang ganjarannya berlipat kali ganda.

Menurut Penasihat Pondok Sungai Durian, Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, umat Islam seharusnya menjadikan bulan ini sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain kerana ia memiliki beberapa kelebihan dan keistimewaan cukup besar nilainya yang tidak dapat diperoleh dalam bulan-bulan lain.

“Kita digalakkan menyambut kehadiran bulan penuh barakah ini dengan penuh kegembiraan dengan berusaha merebut segala ganjaran yang dijanjikan kepada hamba-Nya yang memuliakan bulan ini dengan melaksanakan amalan yang wajib serta sunat seperti solat terawih, berpuasa dan melakukan amalan yang soleh.

“Ibadah puasa yang difardukan ke atas semua umat Islam ini mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah yang perlu dirasai apabila kita melakukan sesuatu perkara baik serta ibadah wajib itu dengan penuh keikhlasan hati niat kerana Allah SWT,” ujarnya dalam Majlis Pelancaran Aktiviti Ihya’ Ramadhan Dan Bicara Ambang Ramadhan di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

ceramah 1

Tambah Abdul Basit, Ramadhan adalah bulan yang sangat diistimewakan oleh Allah Azzawajallah, kerana dijanjikan dengan seluruh pintu syurga dibuka dan pintu jahanam tempat penyeksaan manusia ditutup rapat.

“Bulan Ramadhan sebagai ‘Bulan Tarbiyah’ iaitu bulan didikan di mana seseorang muslim itu seharusnya mendidik imannya, jiwanya, dan peribadinya agar menjadi lebih penyabar dalam kehidupan seharian supaya kemanisan iman itu dapat dirasai.

“Saya menyeru semua kakitangan agar bekerja dengan niat yang ikhlas dan tidak mencuri masa bekerja dengan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan atau melaksanakan tanggungjawab yang diamanah dengan sambil lewa,” jelasnya lagi.

Abdul Basit berharap umat Islam tidak melepaskan peluang yang hanya datang sekali setahun ini dengan berazam memperuntukkan waktu untuk melakukan amal ibadat bagi merebut ganjaran pahala yang dijanjikanNya dan semoga dituliskan nama di antara hambaNya yang mendapat keampunan serta selamat dari azab neraka.

Teks: Anawiah Abdul Aziz / Foto: Mohammad Hairol Rasli

  • Created on .
  • Hits: 1347

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024