USAHASAMA USM-UMK HASILKAN MEDIA DIGITAL PERUBATAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2016 - Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi rakan sepembelajaran dalam usaha menggabungkan seni kreatif digital dengan bidang Sains Perubatan.
Kesepakatan ini adalah untuk menghasilkan bahan pembelajaran interaktif bagi memudahkan pelajar memahami maklumat yang disampaikan.
Menurut Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim, gabungan usahasama ini adalah julung kali diadakan antara USM-UMK bagi mewujudkan keadah pembelajaran interaktif.
"Saya bangga kerana para pelajar dari berlainan universiti dapat bersama-sama berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menjayakan projek media digital perubatan.
Selain itu, penggabungan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama universiti malah dapat membina jaringan hubungan pembelajaran walaupun berlainan bidang pengajian," katanya ketika merasmikan Pelancaran Buku Perancangan Strategik PPSP (2016-2020), di sini semalam.
Hasil kerja mereka dapat dilihat melalui pameran Medicine-Art Fusion yang mempamerkan kreativiti mereka seperti penciptaan sistem tubuh manusia melalui Hologram 3 Dimensi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), Profesor Abdul Razak Sulaiman berkata, PADU menyokong sepenuhnya usaha sepenuhnya dan menyumbang idea dan kepakaran ilmu bagi menjayakan projek gabungan media digital perubatan ini.
“Antaranya ialah dengan menghubungi para alumni untuk membantu dan memberi sokongan, idea serta kepakaran mereka agar dapat melakukan sesuatu yang bermakna kepada universiti dan masyarakat," ujarnya.
Yang turut hadir ke majlis tersebut ialah, Penolong Naib Canselor UMK, Profesor Rosdi Abdul Rahman.
Teks: Siti Nur Zainab Md.Nor, Normimi Shahira Mohd Daud & Nor Arina Sattar (Pelajar Internship UUM) / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 1161