HAYATI DAN AMALKAN PATRIOTISME DALAM KEHIDUPAN HARIAN, KATA AZALINA
KUALA LUMPUR, 28 Mei 2016 – Nilai-nilai patriotisme dan semangat cintakan tanahair harus ditanam kukuh dalam hati sanubari setiap warganegara Malaysia dan dihayati sebaik yang mungkin.
Semangat patriotisme dalam konteks sebenar tidak sepatutnya bermusim misalnya ditonjolkan menjelang sambutan Hari kebangsaan, sebaliknya perlu dihayati, ditafsir dan diamalkan dalam kehidupan seharian melalui tindakan, tingkah laku, perbuatan atau perlakuan seseorang itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata demikian dalam ucaptamanya ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Penghayatan Ke Atas Patriotisme: Ke Arah Pembentukan Bangsa Malaysia Yang Maju Dan Sejahtera yang diadakan di Akademi Kenegaraan di sini semalam.
“Ke arah mencapai sasaran menjadi bangsa Malaysia, akses penghayatan kepada sistem jaringan patriotism perlu mengambil kira dan melibatkan pelbagai kumpulan sasar, yakni perlu dilaksanakan secara inklusif dan komprehensif meliputi setiap warganegara Malaysia.
“Maka adalah sangat penting untuk kita bekerjasama secara kolektif, antara agensi kerajaan termasuk Biro Tatanegara (BTN), pusat pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta badan pemikir seperti Majlis Profesor Negara (MPN),” katanya.
Beliau juga inginkan supaya BTN tidak dilihat atau disamakan dengan sebuah pertubuhan perkauman tetapi sebaliknya sebuah organisasi yang lebih bersifat Malaysia dan memberi lebih fokus kepada aktiviti dan program yang berterusan yang dapat menyuburkan semangat patriotisme ke arah pembentukan bangsa Malaysia.
Tambahnya lagi, ini sejajar dengan usaha penjenamaan semula BTN, dan program-pogram praktikal anjuran BTN seperti pertandingan MySelfie Patriot 2016 melalui Instagram dan Video Patriot 2016 di Facebook adalah bertujuan untuk memberi ruang kepada generasi muda menzahirkan rasa cintakan tanahair.
Azalina turut menyeru golongan mahasiswa khususnya mereka dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPT yang merupakan bakal pemimpin dan pewaris negara serta generasi pasca 2020 untuk menggunakan bakat kepimpinan yang ada untuk membantu kerajaan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda di IPT.
“Saya percaya sumbangan idea pemimpin-pemimpin pelajar ini amat signifikan dengan agenda negara demi kemajuan dan kesejahteraan masa hadapan kita bersama,” katanya lagi.
Terdahulu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dato’ Dr. Omar Osman turut menyuarakan harapannya untuk melihat institusi pendidikan tinggi menjadi pemangkin (catalyst) kepada usaha memperkasa penghayatan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan mahasiswa.
“Dalam konteks ini, saya berharap Akademi Kenegaraan ini akan digunakan oleh BTN sepenuhnya sebagai pusat penganjuran pelbagai program yang dapat membina perpaduan dan meningkatkan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
“USM akan terus bekerjasama rapat dengan BTN khususnya dalam menyumbangkan idea serta berkongsi ilmu dan hasil dapatan penyelidikan yang dapat membantu menentukan hala tuju semangat patriotisme negara kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Profesor Dr. Roziah Omar menzahirkan kesediaan dan komitmen beliau dan profesor-profesor lain dari MPN untuk terus memberi bantuan, sokongan serta pemikiran yang dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha mempertahankan maruah bangsa dan tanahair.
Dalam majlis perasmian seminar ini juga diadakan pelancaran buku ‘Patriotisme Malaysia: Sejarah, Isu dan Cabaran’ yang disunting bersama oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Seri Dr. Ronald Kiandee dan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Profesor Dr. Sivamurugan Pandian (kedua-duanya hadir) serta ditulis oleh 25 orang penulis bagi 15 bab yang berbeza.
Lebih 250 peserta yang terdiri daripada mahasiswa dari IPTA, pengurusan tinggi universiti awam, ahli-ahli akademik dan pegawai, staf serta tenaga penggerak BTN telah menghadiri majlis ini.
Seminar yang julung kali diadakan itu dari 27 hingga 28 Mei dianjurkan bersama oleh Akademi Kenegaraan, Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM.
Objektif utamanya adalah untuk menghayati semula patriotisme oleh generasi baru dan masa depan hubungan etnik di Malaysia yang seringkali dijadikan rujukan oleh pihak luar ke arah pembentukan bangsa Malaysia.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah BTN, Datuk Ibrahim Saad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Profesor Dr. Azlinda Azman.
Teks: Tan Ewe Hoe / Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 1030