LIGA BOLA SEPAK IPT 2016 - USM, UPSI SAMA HEBAT
PULAU PINANG, 28 Mei 2016 - Hasrat Universiti Sains Malaysia (USM) mengutip tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian apabila diikat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2-2 pada perlawanan yang berlangsung di Padang A USM, hari ini.
Skuad Minden Tigers seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan kelebihan mendahului dua gol bagi membolehkan UPSI mengejar kedudukan seterusnya berpuas hati dapat mengutip satu mata di tempat lawan.
USM mengasak kubu UPSI seawal wisel dibunyikan dan pada minit ke-10, Muhd Asyraf Hasan hampir mencetak nama sebagai penjaring pertama namun sepakannya sekadar singgah di kiri tiang gol lawan.
Minit ke-25, kesilapan penjaga gol UPSI, Noor Shah Reza yang menangkap hantaran ke belakang rakan sepasukan menyaksikan ketua pasukan USM, Muhd Nabil Fikri berjaya menghasilkan gol pertama menerusi sepakan lencong yang menerjah ke penjuru kiri gol.
Asakan demi asakan melalui gandingan Hani Jumah dan Ahmad Hambali memaksa UPSI berkampung di kawasan sendiri, namun ketumpulan penyudah yang mengecewakan berjaya menyelamatkan gawang UPSI daripada dibolosi.
Ancaman pertama UPSI hanya hadir pada minit ke-40 apabila sepakan Mohamad Farez Fitri dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol USM, Mohd Hafizh Mansor.
Separuh masa kedua bermula dengan skrip berbeza dengan UPSI memperkemaskan jentera tengah dan serangan namun kecemerlangan Mohd Hafizh Hamzah menidakkan beberapa percubaan berbahaya mereka.
USM terus dilihat semakin selesa di depan apabila sepakan penjuru diambil Muhd Asyraf Hasan pada minit ke-52 disudahkan dengan tandukan mudah oleh Muhd Nabil Fikri.
Kesungguhan UPSI mencari gol bagi merapatkan defisit berhasil pada minit ke-70 menerusi Simeon Haitange, seminit selepas pertahanan USM, Muhd Khairul Syahmi dilayangkan kad kuning kedua.
Berbekalkan kelebihan pemain yang ada, UPSI terus menggandakan asakan dan berhasil menuai gol penyamaan pada minit ke-88 menerusi Mohd Fahmi Talib hasil larian solo dari luar kotak penalti.
Jurulatih Minden Tigers, Ahmad Norafandy Yatim menyifatkan skuadnya tidak bernasib baik walaupun mendahului lawan pada satu ketika.
"Walaupun penyudah tidak menerjah gawang, namun saya tetap bangga dengan keseluruhan persembahan dan berharap kami dapat mengatasinya pada perlawanan selepas ini."
Selepas empat perlawanan, USM masih kekal di kedudukan tiga pasukan terbaik dalam saingan liga divisyen satu dan akan berkunjung ke tempat lawan bagi menentang UM pada 2 Jun nanti.
Liga IPT 2016 akan berehat seketika selepas itu dan akan bersambung semula pada 16 Julai, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Teks: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1657