APEX SCHOLAR JADI JENAMA USM
PULAU PINANG, 27 Mei 2016 - Program Kesarjanaan APEX (APEX Scholar) yang menjadi salah satu fokus yang diletakkan di bawah kerangka pembangunan lima tahun Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjadi satu jenama baru yang mencerminkan kecemerlangan Universiti.
Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, masyarakat dilihat mempunyai satu pandangan dan status yang tinggi terhadap Universiti dan ia perlu dijaga sebaiknya.
Katanya, masyarakat melihat USM ada satu kualiti dan semestinya pemilihan 56 perintis APEX Scholar menjadi aset untuk merealisasikan kecemerlangan yang diperjuangkan universiti.
"Kita mahu melihat dalam tempoh lima tahun mendatang perintis-perintis ini akan dapat menjadi graduan HEBAT meliputi aspek tertentu termasuk holistic, entrepreneurial, balance, articulate dan thinking.
"Untuk mencapai hasrat ini USM akan menyediakan satu ekosistem yang baik yang berupaya untuk melatih mereka yang cemerlang ini mencipta 'the future of the future'," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat, seterusnya menyampaikan watikah pelantikan kepada perintis APEX Scholar di sini hari ini.
Hadir sama ke majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein.
Omar juga berkata, program yang julung kali diperkenalkan itu diyakini dapat direalisasikan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Kita yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang USM berupaya melahirkan graduan HEBAT yang mempunyai jati diri unggul, kepimpinan luar biasa serta berdaya maju dan boleh menyahut apa jua cabaran," ujarnya.
Dalam pada itu, program APEX Scholar adalah satu flagship untuk membangunkan daya intelek dan kepimpinan pelajar secara strategik, memupuk mereka yang berbakat dan bermotivasi tinggi untuk memajukan daya saing, bakat kepimpinan dan keperibadian pelajar.
Perintis APEX Scholar telah dipilih melalui satu pemilihan secara intensif dalam kalangan calon-calon yang mempunyai pencapaian akademik cemerlang dan bersahsiah tinggi.
Program yang turut mensasarkan graduan SUPER (stand out, unique, prolific, exemplary, rare) HEBAT itu dibangunkan bersama di antara HEPA selaku sekretariat dan Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), pusat-pusat pengajian, industri dan rakan strategik dari luar USM.
Teks : Marziana Mohamed Alias
Foto : Muhammad Sadiq Za'im Zaharin (pelajar Internship)
Video : USMTV
- Created on .
- Hits: 1364