MAHASISWA USM DEKATI MASYARAKAT LAOS
PULAU PINANG, 26 Mei 2016 - Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang mendekati masyarakat Laos melalui Program Pembangunan Mahasiswa 'International Malaysia-Laos Youth Exchange and Study Programme 2016' selama 3 hari bermula 7 Mei 2016.
Wakil peserta, Nur Amalina Jeffri berkata, program pengantarabangsaan seperti ini merupakan program yang patut disertai setiap pelajar untuk mengenali budaya dan cara hidup masyarakat negara lain sebagai pengalaman yang tidak terhingga nilainya.
"Objektif program ini ialah untuk membentuk mahasiswa USM berfikiran global dalam melaksanakan aktiviti yang mengeratkan mereka dengan masyarakat luar tanpa mengira perbezaan umur, agama dan bangsa serta sempadan negara," katanya.
Jelasnya lagi, program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam program sukarelawan peringkat ASEAN.
Program yang disokong oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan Majlis Belia Asian (AYC) disertai oleh 36 orang mahasiswa di samping pegawai pengiring dan pegawai perubatan dari Kampus Kesihatan USM.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertukaran budaya, sukarelawan, pendidikan, dan keusahawanan serta perkongsian ilmu bersama mahasiswa National University of Laos (NUOL) di ‘Institute Laos-Japan'.
"Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta menimba ilmu mengenai sistem pendidikan di NUOL dan kursus yang ditawarkan serta berkongsi pengalaman bersama para pelajar NUOL," tambahnya.
Program khidmat masyarakat turut dijalankan di kawasan perkampungan Islam di Kampung Banphon Sawattay.
"Menariknya daripada 6.7 juta rakyat Laos, hanya 600 orang yang beragama Islam yang terdiri daripada masyarakat setempat, India dan Pakistan.
"Program utama kami adalah mengadakan pemeriksaan kesihatan, gotong-royong mengemas kawasan masjid dan menyampaikan sumbangan, aktiviti berkhatan yang dijalankan oleh pasukan perubatan USM, Kampus Kesihatan dengan melibatkan seramai 20 orang kanak-kanak secara percuma," katanya lagi.
Para peserta turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000.00 dan barangan keperluan lain seperti ubat dan berus gigi, makanan, Al-Quran, Muqaddam, buku panduan solat, kain pelikat, telekung sembahyang, ubat kutu dan penyepit kuku.
Program ini dianjurkan bersama oleh Pusat Belia Antarabangsa dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kesihatan USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 889