USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMENANGAN BERGANDA FATIN NURFATEHAH

IMG 0274

SINTOK, KEDAH, 26 Mei 2016 - Fatin Nurfatehah Mat Salleh, 25, atlet memanah negara yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila dinobat sebagai Olahragawati Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2015 hari ini.

Hal ini adalah kemenangan dan pengiktirafan berganda calon Sarjana Sains Sukan di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM itu yang juga penerima Anugerah Olahragawati USM dalam Anugerah Sukan USM dan Anugerah Pasukan Terbaik Wanita Majlis Sukan Negara malam tadi.
Hari ini, Fatin Nurfatehah mengenepikan 4 calon utama daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan pesaing terdekatnya adalah penerjun negara, Pandelela Rinong Anak Pang dari UM.

Fatin Nurfatehah mendedikasikan kejayaannya kepada  USM  yang banyak menyokong dan membantunya sehingga berjaya.

"Saya amat menghargai dorongan ibu bapa dan keluarga serta USM yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk menjalani latihan sehingga saya berjaya.

"Saya menjalani latihan selama enam jam sehari, 3 jam pagi dan 3 jam di sebelah petang dan malamnya saya menjalani latihan kecergasan," katanya yang ditemui selepas menerima anugerah hari ini.

IMG 0334

Anak kelahiran Sabah ini membawa pulang Piala Pusingan, Piala Iringan, sijil, blazer dan wang tunai RM3,000.

Fatin Nurfatehah meminati sukan memanah sejak di bangku sekolah rendah lagi dan menganggap sukan ini cukup menarik dan ada keunikan tersendiri.

"Saya mula berjinak dengan dunia sukan memanah sejak berumur 10 tahun dan minat itu hadir sendiri tanpa pengaruh dari sesiapa," jelasnya.

Sepanjang penglibatannya, Fatin Nurfatehah telah memenangi beberapa kejohanan dunia iaitu Kejohanan Memanah Piala Dunia 2015, (1 emas berpasukan), Kejohanan Memanah Piala Asia 2015 (1 perak berpasukan dan 1 gangsa individu), Kejohanan Memanah Asean 2015 (1 gangsa berpasukan), Sukan SEA ke-28 Singapura (3 emas untuk individu, berpasukan dan campuran).

Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Datuk Nor Sabrina Mohd Noor mewakili Menteri Besar menyampaikan anugerah-anugerah tersebut yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak; Pengerusi MASUM Profesor Dato' Dr. Abdullah Mohamad Said; Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Haji Mohamad Mohd Hanif serta pegawai-pegawai utama universiti dan ahli jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1599

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024