USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ASUSM 2016: YEOW TING FONG RANGKUL ANUGERAH KHAS PELAJAR KELAINAN UPAYA (PKU)

IMG 0085hj

PULAU PINANG, 25 Mei 2016 - Kekurangan fizikal bukan penghalang buat Yeow Ting Fong untuk cemerlang di bidang sukan apabila berjaya merangkul Anugerah Khas Pelajar Kelainan Upaya (PKU) di Anugerah Sukan USM 2016.

Beliau yang aktif dalam sukan Petanque berjaya membuktikan bahawa pelajar kelainan upaya mampu berada seiring bersama atlet sukan normal yang lain.

Ting Fong, 24, pelajar tahun keempat jurusan Ekonomi berkata beliau amat terharu dengan pengiktirafan ini dan mengharapkan ia dapat menjadi titik tolak buatnya meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

"Saya amat gembira apatah lagi penganugerahan ini disaksikan sendiri oleh Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM yang sebelum ini banyak menyokong dan menyalurkan pelbagai kemudahan untuk golongan seperti saya ini,” katanya.

Tambah beliau yang berasal dari Melaka, beliau amat berterima kasih kepada Naib Canselor kerana banyak membantu memberi dorongan termasuklah berusaha menyediakan tempat latihan Petanque di USM.

"Semoga kejayaan saya ini dapat memotivasikan pelajar kelainan upaya yang lain untuk bersama-sama berjaya bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga sukan."

Ting Fong mula aktif dalam sukan Petanque sejak 4 tahun lalu telah berjaya memungut pingat Perak di International Petanque Open untuk OKU di Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Beliau turut mewakili Melaka pada kejohanan Paralimpik Kebangsaan di Pahang pada 2012  dan merangkul pingat gangsa, termasuk Kejohanan Paralimpik Zon Utara dengan juga pingat Gangsa di Pulau Pinang.

Beliau turut dilantik sebagai Ketua Pasukan bagi Desa Tekun dengan menyumbang dua emas untuk Sukan Antara Desasiswa pada tahun 2014 dan 2016.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 898

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024