LAMAN SESAWANG E-RECRUIT USM CAPAI HITS 10 JUTA
USM, PULAU PINANG, 26 Mei 2016 - Laman sesawang e-Recruit Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat hits lebih 10 juta pengguna untuk mengisi jawatan kosong yang diiklankan baru-baru ini.
Menurut Pengarah Sumber Manusia USM, Dr. Hj. Musa Ali, pelbagai jawatan kosong dibuka secara atas talian untuk permohonan orang ramai sejak 21 April 2016 dan selepas sebulan mencapai lebih 10 juta hits yang menyebabkan berlaku kesesakan dalam laman sesawang tersebut.
“Kita sedang memproses semua permohonan dengan melakukan tapisan mengikut jawatan yang dipohon diikuti dengan proses tapisan berikutnya yang pertama kali dibuat melalui myTalent yang memerlukan pemohon mengisi profil yang diperlukan dengan rujukan kepada pihak tertentu secara atas talian yang bukan sahaja melihat dari segi pencapaian akademik tetapi juga kesesuaian dengan jawatan yang dipohon,” kata Musa.
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan melakukan pemilihan berikutnya dengan meminta pemohon mengikuti program TeRamPiL, yang merupakan singkatan daripada “Teacher – Researcher – Practitioner – Leader” yang disesuaikan untuk kegunaan staf pentadbiran dalam memastikan USM memilih mereka yang benar-benar sesuai dengan keperluan masa hadapan dalam memacu kecemerlangan.
Musa ditemui dalam Majlis Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Sumber Manusia USM yang diadakan hari ini untuk memberi peluang kepada semua pihak bertemu dan mendapatkan maklumat dan penjelasan tentang pelbagai proses yang sedia ada.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1511