GENIUS ELEVEN DAN EXCEL 7 JOHAN KONVENSYEN KIK KAMPUS KESIHATAN USM
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2016 - Pasukan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Genius Eleven dan Excel 7 dinobatkan sebagai johan bagi kategori teknikal dan pengurusan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Kumpulan Genius Eleven daripada Unit Kejururawatan, Hospital USM mendapat tiga bintang menewaskan dua lagi kumpulan iaitu Pham-Q dari Jabatan Farmasi Hospital USM dan Kumpulan Elit dari Dewan Bedah Hospital USM yang masing-masing beroleh dua bintang bagi kategori Teknikal.
Sementara itu, Kumpulan Excel 7 yang mewakili Perpustakaan Hamdan Tahir turut beroleh tiga bintang sekaligus menewaskan kumpulan Cekap dari Institut Perubatan Molekul (INFORMM) yang beroleh dua bintang bagi kategori Pengurusan.
Genius Eleven yang mengetengahkan projek mereka bertajuk ‘Kesukaran Proses Pembelajaran Untuk Pemeriksaan Nystagmus Bagi Pesakit Mengalami Vertigo’ dan Excel 7 dengan tajuk projek ‘ Sistem Pinjaman Librex Point’ membawa pulang trofi kemenangan, piala iringan, wang tunai, hamper serta sijil penyertaan.
Menurut Ketua Kumpulan Genius Eleven, Norwahidah Wahi, projek yang dihasilkan oleh kumpulannya itu bertujuan membantu memudahkan proses pembelajaran untuk pemeriksaan mata iaitu symptom ‘Nystagmus’ bagi pesakit yang mengalami vertigo iaitu keseimbangan badan terganggu disebabkan rasa pening.
“Impak yang ketara dari segi cara pemeriksaan mata menjadi lebih efektif, tepat, cepat, selesa dan sangat berguna untuk pesakit, pegawai perubatan, jururawat, pembantu perubatan serta pelajar perubatan kerana visual mata semasa pemeriksaan akan menjadi lebih realiti.
“Kos rekaan yang murah membantu menjimatkan perbelanjaan hospital untuk membeli alatan yang mahal di pasaran antarabangsa dan kami berharap agar peralatan yang dikenali sebagai ‘Perfect Cam’ ini akan diperluaskan di semua jabatan seluruh Kelantan,” ujarnya.
Pengarah Kampus Kesihatan dan Penolong Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan kepada semua jabatan yang telah menujukkan komitmen yang tinggi dalam menyiapkan projek masing-masing untuk dipertandingkan.
“Penganjuran Konvensyen KIK ini amat bertepatan dengan status USM sebagai gedung ilmu yang banyak mencambah dan mencetuskan hasil-hasil inovasi dan kreativiti kerana melalui ciptaan inovatif dan kreatif ini, sesebuah institusi akan sentiasa hidup serta berinterkasi secara aktif mengikut peredaran zaman.
“Pertandingan ini juga menunjukkan bahawa elemen-elemen pengurusan dan teknikal berkait rapat antara satu sama lain kerana tanpa pengurusan yang cekap dan rapi, secanggih manapun bidang teknikal yang kita miliki tidak mungkin dapat menjamin pelaksanaan projek yang cemerlang,” katanya.
Menurut Mafauzy, tema Konvensyen KIK pada kali ini ‘Inovasi Melalui Kerja Berpasukan’ amat bertepatan kerana melalui kerja berpasukan dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja serta dapat menggalakkan percambahan fikiran ke arah penciptaan yang lebih kreatif.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 906