USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AKADEMIA ASEAN BINCANG INISIATIF PERKASA PEMBANGUNAN PENYELIDIKAN

IMG 0214gfh

PULAU PINANG,  25 Mei 2016 - Akademia dari negara-negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam,  Cambodia,  Indonesia dan sebagainya berkampung di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi berdiskusi dalam mencari formula komprehensif dalam membangunkan profil penyelidikan nic dan kepimpinan yang dapat memperkasa pembangunan penyelidikan universiti-universiti ASEAN.

Perbincangan secara intensif berkenaan dibuat bersempena Forum ASEAN Universities' Research Niche and Role of University's Leadership in Research Development 2016 di sini hari ini.

Hadir merasmikan forum berkenaan, Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Dr. Mohamad Kamal Harun berkata, salah satu hasrat unggul ASEAN adalah untuk menyediakan satu ruang kukuh pendidikan tinggi di rantau ini melalui kolaborasi dan pengantarabangsaan.

Katanya, salah satu strategi yang dikenalpasti khususnya dalam meningkatkan kapasiti penyelidikan universiti ASEAN adalah melalui beberapa nic penyelidikan meliputi komponen kritikal termasuk peruntukan, tadbir urus, inovasi, pengantarabangsaan, pembelajaran dalam talian dan penyampaian.

"Justeru, kajian mahupun output dari forum ini disasarkan secara komprehensif untuk membangunkan profil penyelidikan nic dan kepimpinan universiti-universiti ASEAN," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Profesor Dr. Wan Mohd Fauzy Wan Ismail pula berkata, IPPTN telah memainkan peranan penting termasuk dalam mengenalpasti isu dan cabaran kritikal yang berkait rapat dengan pendidikan tinggi bagi membantu memperkasakannya khususnya di peringkat ASEAN.

"Untuk merealisasikan hasrat membangunkan pendidikan tinggi ini pelbagai kajian telah dijalankan IPPTN, selain terlibat dalam banyak jawatankuasa kebangsaan dan serantau bagi membantu dalam menambah baik hala tuju polisi pendidikan," ujar beliau.

Dalam pada itu, sesi informatif bersempena forum tersebut dikongsi bersama lebih 50 peserta yang turut berdialog membincangkan pelbagai idea berkaitan pendidikan tinggi ASEAN.

Forum ini berperanan sebagai medium bagi ahli-ahli panel yang berpengalaman dalam penyelidikan dan kepimpinan berkongsi pengetahuan dan perspektif mereka mengenai pemindahan pengetahuan, penyebaran ilmu dan rangkaian penyelidikan.

Antara pembentang dari dalam dan luar negara yang terlibat ialah Dr. Sam Rany, University of Battambang, Cambodia; Prof. Ahmaloka, Universitas Pertamina, Indonesia;  Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Universiti Sains Malaysia; Prof. Dr. Noorsaadah binti Abd Rahman, Universiti Malaya; Prof. Dr. Nguyen Thi Ngoc Bich, Vietnam National University Vietnam dan Prof. Madya  Dr. Avorn Opatpatanakit, Chiang Mai University, Thailand.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 873

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024