USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JURURAWAT HOSPITAL USM HASILKAN KIT PENDIDIKAN KESIHATAN

untitledghg

KUBANG KERIAN, 23 Mei 2016 – Sekumpulan jururawat daripada pelbagai disiplin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) telah berjaya menghasilkan Kit Pendidikan Kesihatan Diabetes dan Panduan Pengurusan Stoma bagi kegunaan para jururawat dalam memberikan pendidikan kesihatan kepada pesakit.

Menurut Ketua Jururawat, Mazidah Saad, inisiatif untuk menghasilkan kit tersebut timbul disebabkan tiada sebarang bahan rujukan pembelajaran yang boleh digunakan untuk memberikan penerangan tentang penyakit dan rawatan secara berkesan kepada pesakit.

“Kami memikirkan untuk mewujudkan satu sistem atau kit yang boleh digunakan oleh semua jururawat bagi memberikan pendidikan kesihatan kepada pesakit secara menyeluruh dan selaras dengan itu, dua sesi bengkel diadakan bagi menyediakan perancangan pengajaran dan sebanyak 15 topik telah disediakan untuk peringkat permulaan.

“Dua topik tersebut telah siap sepenuhnya dan kami juga telah menggunakan kit yang mengandungi cakera padat beserta modul bergambar serta rancangan pengajaran dan ianya telah digunakan dalam tempoh percubaan bagi melihat keberkesanannya sebelum dilancarkan,” katanya.

Panduan Pengurusan Stoma adalah cara-cara menguruskan stoma yang merupakan satu bukaan di sebahagian daripada usus atau saluran kencing di bahagian permukaan atas perut sebagai saluran keluar untuk bahan kumuh seperti najis atau air kencing.

Menurut Mazidah, dengan adanya kit pendidikan kesihatan ini, jururawat tidak perlu bersusah-payah untuk memberikan pendidikan kesihatan kerana mereka hanya perlu mengambil masa yang singkat sahaja iaitu antara lima hingga sepuluh minit untuk memberikan penerangan kepada pesakit pada bila-bila masa bergantung kepada kelapangan pesakit yang sedang menerima rawatan di dalam wad.

untitledhjbhj

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Kejururawatan merangkap Ketua Kumpulan, Raudzah Mohamed Ariffin berkata, beliau sangat berbangga dengan ahli kumpulan jururawat yang menghasilkan kit tersebut kerana dari peringkat awal hingga terhasilnya kit tersebut, mereka menggunakan duit dan perbelanjaan sendiri.

“Bagi pihak ahli kumpulan, saya mengharapkan pihak universiti dapat menyokong kami dengan menyediakan sumber kewangan untuk kami menyiapkan topik-topik yang masih belum disiapkan kerana kami berhasrat untuk mengkomersilkan dan diperluaskan kepada hospital pengajar, hospital di bawah Kementerian Kesihatan serta hospital swasta.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada jururawat serta pesakit yang telah menggunakan kit tersebut malahan keluarga pesakit juga mendapat manfaat kerana langkah penjagaan turut dimuatkan dan ini membantu proses perawatan di rumah serta dapat mengurangkan kekerapan di samping menjimatkan perbelanjaan pesakit datang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Antara topik yang masih dalam proses penerbitan adalah Penyakit Buah Pinggang Kronik, Pilihan Rawatan, Penjagaan Pesakit Separuh Sedar Dan Tidak Sedar Diri, Panduan Mencegah Demam Denggi, Memahami Penyakit Psikiatri serta Apa Yang Perlu Anda Ketahui Tentang Stress.

Kit Panduan Pengurusan Stoma dan Pendidikan Kesihatan Diabetes telah dilancarkan secara rasmi semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital USM baru-baru ini.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Hafiz Ya’acob

  • Created on .
  • Hits: 1361

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024