TEATER TRADISONAL MAKYONG ‘SINDONG 2016’ KETENGAH ISU SEMASA
USM, PULAU PINANG, 23 Mei 2016 – Pementasan teater tradisional Makyong ‘Sindong 2016’ yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia akan mengetengahkan isu semasa khususnya dalam kes penderaan wanita.
Menurut Penolong Pengarah teater ini, Nur Liyana Che Muhammad, walaupun teater Makyong ini merupakan suatu teater tradisional, namun elemen moden turut dibawakan dan diserapkan nilai-nilai moral yang dapat memberi nasihat kepada para penonton.
“Pementasan teater Makyong ‘Sindong 2016’ ini akan membawakan kisah-kisah yang berkaitan dengan isu semasa pada masa kini yang kita lihat banyak kes-kes penderaan terhadap kaum wanita selain menerapkan elemen-elemen tradisional Makyong ini sendiri supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Tambah Nur Liyana, USM bertuah kerana Adiguru Rebab, saudara Che Mat Jusoh dan Pakyong Malaysia, saudara Rosnan Abdul Rahman turut bersama-sama menjayakan teater tradisional ini.
Persembahan ini turut mendapat kerjasama dari Kumpulan Tarian Adikarma dari Hal Ehwal Pembangunan Pelajar Dan Alumni USM dan turut diberi pendedahan berkaitan teater tradisional ini adalah pelajar-pelajar daripada program Tunas Budaya bersama USM iaitu Kumpulan Tunas Tari Sekolah Kebangsaan Minden Height, yang turut diberi peluang mengenali dan menyelami persembahan Teater Tradisional Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Produksi Teater Makyong ‘Sindong 2016’, Ramnah Ramli berkata, pementasan teater ini mampu membawa kembali tradisional Makyong kepada generasi muda kini yang tidak ramai mengenali tradisi yang berasal dari negeri Kelantan ini.
“Menariknya cerita Makyong ‘Sindong 2016’ ini kerana kebanyakan watak yang dibawa oleh para pelakon rata-ratanya bukan berasal daripada negeri Kelantan. Namun disebabkan minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pelakon teater ini mampu memberi impak yang besar kepada para penontonnya,” tambahnya.
Jelas Ramnah lagi, tradisional Makyong di USM telah bermula sejak awal tahun 1990-an lagi dengan penampilan beberapa Pakyong yang terkenal. Namun ia makin dilupakan dengan kemunculan teater-teater moden.
“Kini, kami bawakan semula teater tradisional Makyong ini kepada pencinta seni tanah air dan saya berharap seni Makyong ini akan terus berkembang khususnya di USM ini,” katanya dalam sidang media khas sempena pementasan teater Tradisional Makyong ‘Sindong 2016 pada hari Selasa dan Rabu, 24 dan 25 Mei, 2016 mulai jam 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia.
Persembahan Teater Tradisional ini mengisahkan tentang seorang gadis yatim piatu bernama Sindong yang sering didera oleh ibu tirinya, Mek Kundur. Suatu hari, atas alasan tidak munasabah, Sindong telah dihalau dari rumah Mek Kundur. Maka, Sindong pun membawa diri tanpa arah tujuan. Dengan kesaktian dan pertolongan Mak Cik Sedewa-dewa dari kayangan, Sindong telah dipulihkan tenaga dan diberikan sepersalinan pakaian yang akhirnya mengubah nasib hidup beliau.
Sementara itu, di Istana Jerai, Raja Besar telah menganjurkan satu pesta keraian bagi mencari calon isteri Raja Muda Tengku Ahmad. Pertemuan mata antara Raja Muda Tengku Ahmad dan Sindong ketika persembahan di istana telah membibitkan rasa cinta dan akhirnya Raja Muda melamar Sindong menjadi isterinya. Apakah yang terjadi kepada Mek Kundur? Adakah Raja Muda memaafkannya. Sama-sama kita ikuti kisah selanjutnya.
Pementasan teater tradisional Makyong ‘Sindong 2016’ merupakan anjuran Dewan Budaya USM dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni serta Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Utara.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1188