KEJOHANAN BADMINTON KSSUSM SATUKAN WARGA USM, PPPBP MUNCUL JUARA
USM, PULAU PINANG, 22 Mei 2016 – Kelab Sukan Staf (Badminton) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi USM telah mengadakan satu kejohanan badminton berpasukan campuran antara PTJ USM baru-baru ini di Kompleks Sukan Badminton USM.
Menurut Konvenor Kelab Badminton Sukan Staf USM yang juga pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Dr. Baharudin Ibrahim, kejohanan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara staf, menggalakkan staf bersukan bagi penjagaan kesihatan dan untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan staf untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM).
Katanya lagi, kejohanan ini juga dapat membina keyakinan diri dan mengukuhkan kekuatan rohani peserta agar membentuk modal insan yang seimbang selaras dengan pembangunan negara yang mampan.
Bagi Penasihat kelab, Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah pula, setelah sekian lama, Kompleks Sukan Badminton ini dipenuhi semula oleh ramai orang untuk aktiviti bermain badminton terutamanya dalam kalangan staf USM sendiri.
“Saya berasa amat bangga kerana inisiatif murni Kelab Badminton Sukan Staf USM ini telah membuahkan hasil dan diharap kejohanan ini akan menyemarakkan kembali semangat staf USM dari pelbagai peringkat untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan khususnya badminton,” katanya.
Adi juga menyampaikan hadiah berupa piala pusingan, pingat, sijil dan hamper kepada pemenang kejohanan daripada Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) semasa upacara penutupan kejohanan.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Perpustakaan dan tempat ketiga masing-masing oleh Pusat Sukan dan Rekreasi dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Kejohanan disertai seramai hampir 100 peserta terdiri daripada 8 pasukan daripada pusat-pusat pengajian, jabatan, pusat dan unit di USM dan dianggarkan hampir 200 orang pengunjung turut serta memeriahkan kejohanan ini.
Format perlawanan melibatkan acara tiga bergu lelaki, satu bergu veteran (40 tahun ke atas) dan satu bergu wanita.
Sumbangan utama telah diberikan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM, MK Sport, U View Cafe dan sumbangan individu oleh Dr. Rahmatullah Hussain.
Pengarah kejohanan ini ialah pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Dr. Mohd Ismail Ibrahim.
Teks asal dan Foto: Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah & Dr. Baharudin Ibrahim
Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1098