MENGHIDUPKAN SEJARAH MASYARAKAT MELAYU PATANI
USM, PULAU PINANG, 12 Mei 2016 - Simposium Karya Patani adalah satu usaha daripada para penyelidik Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memahami masalah yang dihadapi masyarakat Melayu Patani.
Menurut Pengerusi Simposium Karya Patani, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, tujuan simposium ini dijalankan untuk terus memahami sejarah, etos, jati diri, aspirasi, kekangan dan perjuangan masyarakat Melayu Patani seperti yang dicerminkan dalam sastera, budaya dan media yang dihasilkan dahulu dan masa kini.
“Simposium ini diharap dapat terus membincangkan kehebatan masyarakat Melayu Patani dahulu dan keadaan mereka masa kini, termasuk ketegangan, keresahan, perjuangan yang dihadapi dan kejayaan yang diraih bagi membantu usaha pelestarian dan penyuburan peradaban Melayu Patani untuk generasi masa kini dan akan datang.
“Saya yakin sebahagian besar daripada kertas kerja yang bakal dibentangkan akhirnya dapat diterbitkan dalam jurnal yang berwibawa atau dalam bentuk penerbitan lain untuk sebaran dan manfaat umum,” tambah beliau.
Simposium ini telah dijayakan dengan kerjasama jaringan institusi-institusi berkaitan di Malaysia dan Patani berfokus kepada karya-karya sastera Patani dari pelbagai jenis genre sama ada berbentuk lisan, bertulis, digital atau media lain.
Dibiayai daripada Geran Universiti Penyelidikan (RUI), Simposium Karya Patani ialah kesinambungan daripada dua projek yang besar sebelum ini iaitu Persidangan Antarabangsa Warisan Patani dalam Sastera, Budaya dan Media yang dijayakan pada 2014 dan Diskusi Karya Patani yang dijalankan pada 2015.
Simposium sehari ini disertai oleh kira-kira 40 orang peserta termasuk yang datang dari Patani dan pelajar ijazah tinggi dari Patani di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.
Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 800