PROGRAM SCHOOL TRIP TARIK MINAT CALON USM
USM, PULAU PINANG, 13 Mei 2016 – Mengenali Universiti Sains Malaysia (USM) dari program ‘School Trip’ tahun lalu anjuran Kumpulan Anak-Anak Kedah (KAKUSMA) membuatkan Yasmin Jannah Mohd Redzuan, 20, menanam keazaman untuk menjadi salah seorang penuntut USM.
Yasmin Jannah dari Gurun, Kedah adalah calon dari Pusat Pengajian Komunikasi yang hadir bagi sesi temuduga. Kedatangannya pada kali kedua ini menyemarakkan lagi rasa ingin belajar di sini.
“USM adalah impian saya dan rakan-rakan semenjak program School Trip anjuran pelajar di sini pada tahun lalu. Pelbagai kemudahan di dalam kampus dan pelbagai bidang telah menarik perhatian saya dan rakan-rakan.
“Saya sangat berminat dengan bidang kewartawanan dan meletakkan Komunikasi sebagai pilihan pertama sewaktu mengisi borang secara atas talian. Harapan saya sangat tinggi untuk berjaya melepasi sesi temuduga ini kerana USM dan Komunikasi merupakan pilihan utama saya untuk menjadi wartawan kelak,” jelasnya.
Tambahnya keluarga beliau sangat gembira dan bangga dengan dirinya yang layak hadir untuk sesi temuduga.
Menurutnya USM dianggap antara universiti yang terkenal dan berprestij dalam kalangan pelajar di luar berdasarkan kejayaan-kejayaannya sebagai Universiti APEX di Malaysia.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 603