HASIL KAJIAN PENSYARAH USM CETUSKAN ILHAM PROJEK TAHUN AKHIR PELAJAR
PULAU PINANG, 20 Mei 2016 - Pameran dalam Festival ‘Research & Innovation Towards Integration and Sustainability’ (RINTIS) dari 16 - 26 Mei membolehkan pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) mempamerkan hasil karya mereka kepada pengunjung.
Pelajar pengkhususan seni reka grafik komunikasi, Hairi Bin Abu Hasan Shari, 22, berkata, hasil kajian biskut nutri mush oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Madya Dr. Wan Rosli Bin Wan Ishak memberikan ilham dan inspirasi kepadanya untuk menjalankan projek Penjenamaan Semula Produk Biskut Nutri Mush hasil keluaran Multi Sunray Sdn Bhd berkonsepkan “kesihatan dan riang”.
“Biskut cendawan Nutri Mush yang pertama menggunakan tepung cendawan di Malaysia ini memenangi tempat pertama dalam karnival makanan halal di Rusia,” katanya.
Tambahnya lagi, kandungan biskut ini berpotensi untuk mengawal gula dalam badan bagi individu yang mempunyai penyakit kencing manis dan amat bersesuaian untuk kanak-kanak yang kurang dalam pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana serat yang terkandung dalam biskut ini.
Hairi berkata, penjenamaan semula biskut nutri mush bertujuan menghasilkan identiti produk yang lebih menarik dan dapat bersaing dalam pasaran dan meletakkannya setaraf dengan produk luar negara.
Jelasnya lagi, penjenamaan ini lebih menfokuskan kepada pembungkusan produk untuk memudahkan dieksport ke luar negara dalam kuantiti yang besar dan menumpukan kepada kanak-kanak.
“Penjenamaan ini selari dengan masalah syarikat pelanggan saya iaitu Multi Sunray Sdn Bhd yang tidak mempunyai pembungkusan yang bersesuaian, tidak mempunyai pembungkusan untuk golongan kanak-kanak, tidak mempunyai identiti produk serta tidak mempunyai sistem pengiklanan yang berkesan,” katanya.
Tambahnya lagi, projek tahun akhirnya berjaya dijalankan hasil daripada kesemua penyelia projek khususnya Dr. Zainurul Aniza A. Rahman yang banyak memberikan bimbingan dan dorongan sepanjang menjalankan projek ini.
Hairi berharap keputusan penilaian projek tahun akhirnya berbaloi dan setanding dengan usaha dan pengorbanannya bekerja separuh masa untuk menampung kos perbelanjaan projeknya yang melebihi RM1,000.
Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 965