USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBU BAPA PERLU JADI RAKAN KEPADA ANAK-ANAK

untitledfgj

KUBANG KERIAN,  19 Mei 2016 – Remaja adalah mereka yang berada dalam lingkungan usia 12 hingga 21  tahun  memerlukan bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa, guru dan masyarakat untuk membentuk generasi berpotensi dan merupakan aset pada masa hadapan.

Menurut pensyarah Jabatan Pendidikan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Dr. Mohd Zarawi Mat Nor, pendedahan kepada ibu bapa agar memahami tingkah laku anak-anak remaja adalah amat penting dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga yang kondusif dan bahagia.

“Pendekatan meluangkan masa yang berkualiti untuk berkomunikasi dengan anak-anak remaja dengan cara bersemuka amat penting kerana kita akan dapat menjalinkan hubungan kekeluargaan, memahami kehendak dan cuba menilai, menghormati pandangan serta pendapat mereka,” katanya.

Tambahnya, antara pekara yang perlu diamalkan hendaklah diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti percaya-mempercayai, mengasihi, menghormati, mengamalkan komunikasi terbuka, elakkan sikap mencari kelemahan anak-anak, fokuskan pekara-pekara yang positif, sentiasa memberi pujian dan penghargaan, jadilah pendengar yang baik, elakkan tabiat berleter sebaiknya tunjukkan wajah sentiasa ceria dengan bahasa badan yang baik.

untitledg

Remaja terbahagi kepada tiga peringkat usia yang perlu difahami dan disusuli dengan tindakan yang betul. Peringkat pertama ialah remaja yang berusia 12 hingga 15 tahun. Pada peringkat usia ini, remaja mengalami perubahan jasmani dan perkembangan intelektual yang sangat intensif sehingga minat pada dunia luar sangat besar dan pada saat ini remaja tidak mahu dianggap sebagai kanak-kanak lagi. Pada peringkat ini, pelbagai perasaan akan timbul sering merasa sunyi, ragu-ragu, tidak stabil serta tidak puas dan perasaan kecewa.

Peringkat pertengahan pula ialah antara usia 15 hingga 18 tahun. Pada usia ini, proses membentuk kesedaran dan keperibadian serta jati diri berlaku dengan pesat dan sudah boleh menilai tingkah laku yang mana betul atau salah.

Perkembangan remaja peringkat terakhir ialah antara usia 18 hingga 21 tahun, di mana pada masa ini remaja sudah mantap dan stabil. Remaja peringkat ini sudah ada pendirian tersendiri dan memahami hala tuju yang perlu dilalui.

“Ibu bapa disarankan supaya memahami setiap peringkat perkembangan anak-anak dengan pendekatan yang betul untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar, motivasi serta nasihat mengikut kesesuaian,” kata Mohd Zarawi semasa rancangan Doktor di radio tempatan.

Teks / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1885

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024