USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR SASTERA USM DIKETENGAHKAN DALAM KOLABORASI ANTARA USM – LES’ COPAQUE

IMG 0126gh

USM, PULAU PINANG, 19 Mei 2016 – Perkembangan industri kreatif yang kian pesat membangun di Malaysia kini telah banyak membuka peluang khususnya kepada pelajar-pelajar lepasan universiti meneroka bidang ini sebagai bidang baharu yang mampu menjana pendapatan serta dapat melahirkan usahawan muda yang kreatif dan inovatif.

Menyedari hakikat ini, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama-sama Les’ Copaque Production Sdn. Bhd yang  terkenal dengan animasi Upin dan Ipin.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustafa Kamal dalam ucapannya berkata, hubungan yang terjalin antara USM dengan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. dapat membuahkan kerjasama yang konstruktif dan mencerminkan usahasama yang produktif untuk memberi ruang kepada USM untuk menonjolkan pelajar yang berbakat dan kreatif dalam bidang sastera, seni dan teknologi.

IMG 0141b

“Perjanjian ini telah membentuk satu aspirasi yang cukup kental untuk membawa dunia pengajian kesusasteraan ke arah yang lebih baik bagi mencerminkan satu perubahan yang telah bermula dan akan terus bergerak seiring dengan tuntutan universiti pada hari ini serta masa hadapan kelak,” kata Ahmad Shukri.

Tambahnya, usahasama sebegini diadakan atas kesedaran untuk membawa satu tenaga baru yang progresif dalam membawa nama baik USM untuk memastikan pengajian di universiti masih relevan dan sentiasa bergerak ke hadapan dalam persaingan tempatan, serantau dan global.

“Saya yakin dengan kemampuan pelajar sastera dapat memberi sumbangan yang signifikan, penciptaan iklim bisnes, menggunakan sumber daya terbaru termasuk industri kreatif sekali gus dapat memberikan impak sosial yang positif kepada nama baik universiti dan juga negara,” katanya lagi.

Yang hadir sama dalam majlis ini Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Narimah Samat dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Profesor Dato' Seri Dr. Md Salleh Yaapar. 

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd, Burhanuddin Md Radzi pula berkata kolaborasi ini harus dimanfaatkan kerana kedua-dua belah pihak mempunyai kepakaran dan idea untuk produk yang dihasilkan semakin diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

“Pihak kami juga mengalu-alukan usahasama dari USM menghantar pelajar-pelajar menjalani latihan industri di syarikat kami agar kami boleh membantu pelajar menjadi lebih kreatif untuk menggunakan bahan sastera ke dalam bentuk animasi,” jelas Burhanuddin ketika ditemui dalam satu sidang media selepas majlis.

Turut berlangsung ialah Seminar dan Pameran Sastera Elektronik 2016 yang sedang berlangsung pada 19 hingga 20 Mei 2016 di Foyer Bangunan C42, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.

Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM) / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1496

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024