SAMBUTAN HARI JURURAWAT PERINGKAT HOSPITAL USM MERIAH
KUBANG KERIAN, 18 Mei 2016 – Tanggal 12 Mei setiap tahun merupakan hari yang dikhaskan untuk sambutan Hari Jururawat Sedunia bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada masyarakat yang sentiasa berhadapan dengan risiko dan cabaran ketika menjalankan tugas.
Begitu juga dengan Universiti Sains Malaysia (USM), bagi menghargai sumbangan seluruh jururawat, turut mengadakan sambutan Hari Jururawat Sedunia peringkat Hospital USM hari ini.
Bertemakan “Nurses: A Force for Change: Improving Health Systems’ Resilience”, sambutan Hari Jururawat pada tahun ini diadakan dengan begitu meriah dengan kehadiran lebih 1,000 jururawat Hospital USM.
Timbalan Pengarah Kanan Klinikal Hospital USM, Dr Nik Min Ahmad berkata, Hari Jururawat ini disambut sebagai mengenang jasa para jururawat yang memberi perkhidmatan kepada seluruh masyarakat tanpa mengenal penat lelah dengan bekerja siang dan malam untuk menjaga pelbagai ragam pesakit.
“Pekerjaan jururawat adalah tugas yang sungguh mulia, bekerja sebagai jururawat suatu ibadah umum yang boleh menuai banyak pahala dan merupakan suatu perjuangan, tanpa jururawat, siapa yang akan memudahkan urusan doktor untuk menyiapkan kerja-kerja teknikal.
“Saya mengakui bahawa semua jururawat Hospital USM telah berdepan dengan cabaran besar yang kita hadapi semasa banjir besar pada penghujung tahun 2014 dan wabak denggi yang melanda Kelantan dari Jun hingga September 2015,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital USM yang diadakan di Auditorium Blok Pentadbiran.
Tambah Nik Min, semasa tempoh tersebut, kita benar-benar teruji dengan kapasiti pesakit yang meningkat hampir 200%, pengurusan staf dari pelbagai organisasi serta dalam masa yang sama tidak mengetepikan kebajikan staf kita sendiri yang turut menjadi mangsa semasa bencana tersebut.
“Bukan itu sahaja, kita turut berdepan dengan sumber yang terhad sama ada dari segi fizikal atau tenaga manusia. Walaubagaimanapun, sejarah telah tercipta di mana kita berjaya menghadapi krisis tersebut dan anugerah sebaliknya hadir di mana USM telah dijadikan hospital contoh dalam merencana pelan tindakan menghadapi krisis dan bencana. Tahniah kepada anda semua sebagai ‘The Unsung Hero’,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Unit Kejururawatan, Raudzah Haji Mohamed Ariffin berkata, kerjaya jururawat mampu membawa obor transformasi mendukung aspirasi negara untuk kehidupan yang lebih berkualiti.
“Saya berharap agar semua jururawat memainkan peranan yang lebih fleksibel untuk mencapai impian tersebut dan menerima segala perubahan yang relevan bagi memahami konsep berdaya tahan yang semakin kompleks.
“Kita juga tahu bahawa ‘Doctors are the brain of the hospital, but nurses are the heart of the hospital and if the brain fails, the hospital will not collapse but if the heart fails, the whole hospital will collapse’,” katanya.
Turut berlangsung pada majlis tersebut ialah pelancaran dua kit pembelajaran iaitu Kit Pembelajaran Penjagaan Stoma dan Diabetes yang berfungsi sebagai bahan bantuan pengukuhan pendidikan kesihatan kepada pesakit yang akan membantu meningkatkan kualiti perawatan pesakit.
Teks/Foto: Mohd Ridzuwan Ramly / Mohd Hairol Rasli
- Created on .
- Hits: 1641