2,870 PELAJAR BARU JARAK JAUH MENDAFTAR DIRI
PULAU PINANG, 13 Ogos 2013 - Seramai kira-kira 2,870 orang pelajar baru pengajian jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM) mula mendaftar diri di Kampus Induk Pulau Pinang seawal jam 8.30 pagi ini. Keseluruhan yang memohon masuk mengikuti pengajian jarak jauh USM adalah sekitar 5,000 orang.
Menurut Dekan, Pusat Pengajian Jarak Jauh USM, Professor Madya Dr. Habibah Lateh, dari jumlah keseluruhan tersebut, seramai 1,199 orang akan mengikuti program ijazah Sarjana Muda Pengurusan, 927 orang akan mengikuti program ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, 558 orang akan mengikuti program ijazah Sarjana Muda Sains dan 186 orang akan mengikuti program ijazah Sarjana Muda Sastera.
Kata Habibah, di Kampus Induk, mereka akan mengikuti Program Siswa Lestari atau Orientasi selama empat hari. Antara program yang disusun ialah taklimat akademik, kursus dan pembelajaran secara jarak jauh serta Syarahan Khas bersama tokoh akademik dan Timbalan Naib Canselor, INTI International University Dato’ Profesor Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid pada hari Rabu, 14 Ogos 2013, jam 3.30 petang – 5.00 petang bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra USM Pulau Pinang.
“Kemuncak Program Siswa Lestari ini ialah Majlis Sambutan Siswa pada hari Khamis, 15 Ogos 2013, jam 10.00 pagi di Dewan Tuanku Syed Putra yang akan dihadiri oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang akan menyampaikan amanat beliau,” kata Habibah.
Tambahnya lagi, dari keseluruhan jumlah tersebut, seramai 108 orang pelajar akan mendaftar di Maktab Sabah Kota Kinabalu untuk mengikuti Program Siswa Lestari atau Orientasi pada hari Isnin, 19 Ogos 2013 manakala 96 orang akan mendaftar dan mengikuti program yang sama di Kolej Dato’ Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching pada hari Rabu, 21 Ogos 2013.
Menariknya, kata Habibah lagi, pada tahun ini seramai 57 orang dari kalangan warga emas mendaftar bagi mengikuti program pengajian jarak jauh USM di samping 10 orang Orang Kelainan Upaya (OKU).
Sehingga jam 2.00 petang ini, lebih dari separuh pelajar yang ditawarkan mengikuti pengajian yang mendaftar untuk Program Siswa Lestari di kampus induk Pulau Pinang telah mendaftar menginap di desasiswa-desasiswa yang disediakan. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1879