MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN RASMI PERSIDANGAN ANTARABANGSA KEDAH TUA
PULAU PINANG, 18 Mei 2016 – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan merasmikan Persidangan Antarabangsa Kedah Tua 2016 atau Kedah Tua International Conference 2016 (KTIC’2016) yang akan berlangsung bermula 21 Mei hingga 22 Mei 2016 di Park Avenue Hotel, Kedah.
“Majlis perasmian KTIC’2016 akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mei 2016 dan seramai 29 orang pembentang antarabangsa yang juga pakar tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus, China, Yunani-Rom dan Mesoamerika, di samping pakar tamadun di setiap negara Asia Tenggara akan menyertai KTIC’2016,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin.
“Kesemua mereka akan membincangkan tamadun mereka di julat usia tamadun Sungai Batu (535 SM – Kurun Ke-17 Masihi) untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang keistimewaan dan sumbangan Sungai Batu kepada tamadun dunia.
“Persidangan ini pastinya satu acara yang tidak boleh dilepaskan oleh ahli akademik, pelajar, peminat sejarah serta sesiapa yang berkongsi minat dalam ilmu ketamadunan dan arkeologi,” tambah Mohd Mokhtar.
Pakar-pakar dan pembentang akan mengadakan perbincangan mengenai 10 topik utama iaitu daripada peleburan besi untuk seni bina, melalui pelbagai abad dan kepelbagaian kepercayaan.
Antara pakar yang akan hadir adalah dari Oxford University, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer, Profesor Nasim Khan dari University of Peshawar dan Dr. Zainah Ibrahim dari Jabatan Warisan Negara.
Persidangan itu dianjurkan oleh PPAG USM, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Warisan Negara, kerajaan negeri Kedah, Koridor Utara Malaysia, Persatuan Pelancongan dalam Malaysia (MITA) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia.
KTIC’2016 akan diadakan serentak dengan festival yang julung kali diadakan iaitu Festival Kedah Tua bertempat di Tapak Arkeologi Sungai Batu, Kedah bermula 20 Mei hingga 23 Mei 2016.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 980