USM BAKAL LAHIR MAHASISWA MINDA GLOBAL
USM, PULAU PINANG, 17 Mei 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam usaha memperkasa bakat pelajar untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik dan yang diterima di peringkat antarabangsa.
Salah seorang pelajar yang berjaya dalam program ‘APEX Scholar’, Nurjannah Yasuni, 22, berkata beliau sangat gembira dan bangga kerana menjadi sebahagian dalam program tersebut.
“Saya tidak menyangka akan terpilih dalam program ini kerana saya sedia maklum persaingan yang sangat hebat dalam kalangan semua calon yang hadir dalam temu duga baru-baru ini,” jelas Nurjannah.
Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan kelak untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga mampu melahirkan pemimpin yang berfikiran global.
“Saya amat berharap program ‘APEX Scholar’ ini dapat membina jati diri dalam diri pelajar agar dapat melahirkan mahasiswa yang berpotensi untuk membangunkan negara dan berminda global,” jelas Nurjannah yang juga pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Majlis penyampaian watikah akan disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman pada 27 Mei di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA). Dalam pada itu, semua calon juga akan menjalani kem di Yan, Kedah pada 27 hingga 29 Mei ini.
Program ‘APEX Scholar’ ialah hasil kolaborasi Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) bersama Pusat Kecemerlangan Akademik & Penasihatan dan Pembangunan Pelajar (CDAE) USM.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 968