USM-UMMETRO JALIN HUBUNGAN PELBAGAI BIDANG
USM, PULAU PINANG, 17 Mei 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memperkukuhkan lagi hubungannya bersama-sama Muhammadiyah University of Metro (UMMETRO), Lampung, Indonesia dalam meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pertukaran pelajar melalui kunjungan hormat delegasinya yang diketuai oleh Rektor UMMETRO, Profesor Dr. Karwono Pawiroq.
USM yang diwakili Pengarah Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya (IMCC), Dr. Muhizam Mustafa menyambut baik hasrat delegasi seramai 12 orang ini untuk menjalin kerjasama dan berkongsi kekuatan dalam pelbagai bidang.
"Saya berharap melalui lawatan ini, hubungan di antara dua buah negara akan diperkukuhkan lagi dan lebih banyak kerjasama dalam bidang pembelajaran dan penyelidikan bersama dapat diusahakan pada masa yang akan datang," kata Muhizam.
Dalam pada itu, Muhizam menyatakan kesediaan USM untuk menandatangani memorandum perjanjian untuk berkolaborasi dalam pelbagai aspek khususnya pembelajaran sepanjang hayat kepada pensyarah di UMMETRO melalui program pesisir.
Dalam ucap balasnya, Karwono Pawiroq mengharapkan lawatan mereka ke USM membolehkan kedua-dua belah pihak berkongsi ilmu pengetahuan dan menjalin kerjasama di antara UMMETRO dan USM dalam pelbagai bidang.
“Oleh itu, kami berharap dengan lawatan pada kali ini dapat menjalin hubungan pembelajaran melalui program pesisir di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di UMMETRO,” katanya lagi.
UMMETRO merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Indonesia yang pada awal penubuhannya pada tahun 1966 menumpukan kepada bidang pendidikan dengan pergabungan empat buah Institut Perguruan dan telah melebarkan sayapnya dengan penubuhan beberapa buah lagi Fakulti seperti Pengurusan, Undang-undang, Sains Komputer dan Agama Islam di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, dan juga Pascasiswazah.
Yang hadir sama dalam majlis ini Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi, dan Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi.
Teks: Syuhada Abd Aziz / Foto: Alya Hazwani binti Md. Hafidz
- Created on .
- Hits: 949