RINTIS 2016 BERI PELUANG PAMER HASIL SENI KEPADA MASYARAKAT LUAR
USM, PULAU PINANG, 17 April 2016 – Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menganjurkan Festival ‘Research & Innovation Towards Integration and Sustainablity’ (RINTIS) bertujuan memberi peluang kepada pelajar tahun akhir untuk mempamerkan hasil karya seni mereka dari pelbagai bidang.
Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dr. Hj. Mohd Nazari Yaakob, RINTIS merupakan platform yang membawa pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni untuk menembusi pasaran industri.
“RINTIS 2016 turut menyediakan laluan kepada pelajar tahun akhir tersebut untuk mempromosikan seni melalui penyelidikan dan idea kreatif kepada pelajar IPT, pihak swasta, pelajar sekolah serta masyarakat dalam dan luar Pulau Pinang.
“Kami di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang ingin bekerjasama dengan USM terutama Pusat Pengajian Seni untuk mempromosikan hasil seni mereka kepada masyarakat luar khususnya kepada pelajar sekolah,” jelas Nazari ketika merasmikan Festival RINTIS 2016 di sini pagi ini.
Dalam pada itu, RINTIS 2016 juga memperlihatkan kemampuan pelajar tahun akhir USM memenuhi kehendak dan keperluan industri sekali gus menarik minat dan membuka peluang kepada pelajar untuk masuk ke dalam bidang pekerjaan dan yang berkaitan.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Mohamad Omar Bidin mengucapkan tahniah kepada pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni kerana berjaya menamatkan fasa pendidikan dan berharap mereka dapat melepasi ujian dan cabaran dalam alam pekerjaan kelak.
Kali ini RINTIS 2016 tampil dengan tema ‘Satu Platform Kreatif’ yang melibatkan 186 pelajar daripada pengkhususan Seni Persembahan dan Pedagogi, Lakonan dan Pengarahan, Seni Halus, Grafik Komunikasi, Rekabentuk Teknologi Media Baru dan Rekabentuk Produk.
Teks: Aishah Hanis Azmi (Pelajar Internship USM) / Foto: Zamani Abdul Halim
- Created on .
- Hits: 1142