DIRGAHAYU D.Y.M.M TUANKU CANSELOR
PULAU PINANG, 17 Mei 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini merafak sembah tahniah dan dirgahayu sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis Yang Ke-73.
"Patik sekalian seluruh warga USM mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis panjang usia dalam kerahmatan Allah SWT," kata Naib Canselor dalam warkah sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang juga Canselor USM.
Menurut Omar lagi, USM bertuah kerana mempunyai Canselor yang sangat prihatin terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan tinggi, sentiasa memberi pandangan dan titah untuk memastikan USM terus memacu kecemerlangan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang ada.
"Patik sekalian sentiasa mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua akan terus bersama-sama USM dan memerintah negeri Perlis yang sejahtera, aman, makmur dan sentosa selamanya," kata Omar.
Dirgahayu Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Daulat Tuanku.
- Created on .
- Hits: 994