SOLAT SUNAT ISTISQA’ POHON HUJAN
KUBANG KERIAN, 16 Mei 2016 – Kemarau panjang melebihi 40 hari yang melanda negeri Kelantan memberi kesan terhadap kekurangan sumber bekalan air kepada rakyat Kelantan dan ini menyukarkan kehidupan serta membataskan aktiviti seharian mereka.
Atas kesedaran ini, Pusat Islam Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan solat sunat Istisqa’ memohon supaya diturunkan hujan bagi mengatasi masalah ini.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Wan Nudri Wan Daud, penganjuran solat sunat Istisqa’ ini adalah yang pertama kali diadakan di sini kerana pada tahun ini Kelantan mengalami kemarau yang begitu panjang.
“Solat sunat dua rakaat ini disusuli dengan khutbah sebagaimana sembahyang sunat hari raya Aidil Fitri atau Aidil Adha adalah sunnah Rasulullah S.A.W yang sangat dituntut dalam Islam dan ianya sunat muakad apabila ditimpa musibah seperti kemarau panjang atau cuaca panas melampau atau jerebu,” katanya.
Tambah Wan Nudri, solat sunat ini sebaiknya diadakan di atas tanah lapang atau padang dengan membawa bersama-sama binatang peliharaan seperti kucing, ayam, lembu, kambing dan sebagainya semoga doa dari kita dan binatang dimakbulkan Allah s.w.t.
Sebelum khutbah pertama makmun diminta oleh khatib supaya beristighfar sebanyak sembilan kali manakala tujuh kali sebelum khutbah kedua.
“Bagi yang ingin melakukan solat sunat Istisqa’ ini, digalakkan terlebih dahulu mengikuti kaedah seperti berpuasa sunat selama tiga hari berturut-turut, bersolat sunat taubat, berzikir dan bersedekah bagi memperolehi keberkatan daripada Allah,” katanya lagi.
Seramai 100 orang jemaah terdiri daripada staf, pelajar dan masyarakat setempat menghadiri solat sunat yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM Ustaz Asheef Bakhia Yahya.
Turut hadir menunaikan solat sunat Istisqa’ ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian Profesor Dr. Adam Husein dan Timbalan Dekan Bahagian Pembangunan Hal Ehwal Pelajar Dan Jaringan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek.
Teks/Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 1021