P. RAMLEE ADALAH SEORANG WIRA NEGARA
PULAU PINANG, 22 Mac 2015 - Tokoh akademik terkemuka negara dan seorang ahli sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menganggap P. Ramlee adalah wira negara, bukan milik satu kaum tetapi milik negara bangsa seluruhnya.
“Mendengar lagu-lagu P. Ramlee, saya sangat teruja dan mempunyai perasaan yang sangat tersentuh dengan stail tersendiri dalam caranya. berlakon dan menyanyi apatah lagi kekuatan beliau dalam ialah melalui penggunaan Bahasa Melayunya yang menjadikan ia lebih mudah difahami sebagai perantaraan yang sangat bermakna.
“Malah, saya juga belajar meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu melalui filem-filem dan karya seninya,” kata Khoo Kay Kim.
Katanya lagi, P. Ramlee berusaha rapatkan hubungan pelbagai kaum apatah lagi orang bukan Melayu yang menonton filem Melayu rasa terhibur dengan filem-filem P. Ramlee dan beliau boleh sesuaikan diri dalam keadaan Singapura ketika itu yang lebih 70% adalah kaum Cina.
“Kita perlu faham masyarakat kita seperti mana yang dibuat oleh P. Ramlee serta mendorong anak-anak muda hari ini menghayati usaha ini malangnya mereka kini tidak digalakkan untuk memahami masyarakat apatah lagi apabila menganggap sejarah tidak penting dan apabila golongan muda tidak terdedah kepada sejarah bagaimana mereka akan faham keadaan yang wujud di negara ini, justru semangat yang ada pada P. Ramlee perlu dihidupkan terus dan kita perlu mencari jalan untuk hal ini diperkukuhkan,” tegas beliau lagi.
Beliau juga menyambut baik cadangan untuk menjadikan P. Ramlee sebagai ikon perpaduan dan warisan negara.dan kalau kita ingin mencari sesuatu untuk disampaikan kepada golongan muda, P. Ramlee adalah yang paling sesuai terutamanya melalui lagu-lagunya.”
Beliau juga mengingatkan terhadap bahaya perpecahan kaum dan masyarakat perlu perlu sedar yang masalah perpaduan sangat penting diberikan perhatian kerana 13 Mei bukan hanya satu-satunya masalah yang terjadi akibat perkauman tetapi banyak kejadian pergaduhan kaum di negara ini terutama di Pulau Pinang dan Pulau Pangkor terutamanya selepas Perang Dunia dan kita perlukan orang seperti P. Ramlee untuk tidak menjadikan keadaan lebih genting.
Seorang guru, Dr, Saravanan a/l Viramuthu yang melihat P. Ramlee dari perspektif kaum India berkata, berdasarkan perbincangan dengan ramai orang dari komuniti India menganggap P. Ramlee bukan sahaja ikon perpaduan tetapi duta yang menggunakan formula unik yang tidak ada dalam karya-karya sekarang ini dengan menghasilkan karya yang boleh diterima pelbagai kaum, terhibur dan tetap segar yang menambat hati semua orang.
Kata Saravanan, P. Ramlee mengupas isu perpaduan dan perkahwiinan campur dengan berkesan dalam filem Gerimis yang menjadikan masyarakat India yang mengheret realiti dalam masyarakat India dalam konteks Malaysia pada zaman awal pasca kemerdekaan sekitar tahun 1969.“P. Ramlee juga memperlihatkan kepelbagaian dalam masyarakat kita seperti yang ditunjukkan dalam watak-watak dari kaum lain tetapi tidak menghina atau merendahkan kaum lain, malah berani mengkritik dengan bijaksana seperti dalam filem Anak Bapa dan Seniman Bujang Lapuk, malah penggunaan bahasa slanga, ujaran dan sebutan yang menjadi hakikat dalam kehidupan masyarakat Malaysia menjadikan usaha ini lebih berkesan,”kata Saravanan lagi.
Tegasnya, P. Ramlee telah mengupas dan menerapkan nilai perpaduan dalam karya-karyanya yang tidak ada dalam karya mutakhir yang dapat menandinginya, walau pun kita tidak kenal beliau secara peribadi tetapi karya-karyanya merakyatkan dan mendekatkan diri dalam realiti masyarakat dan kehidupan sejagat dan beliau adalah ikon yang perlu diangkat dalam menyemai bibit perpaduan melalui kerja seni.
Sementara itu, pensyarah perfileman di Pusat Pengajian Komunikasi, Dr. Mahyuddin Ahmad berkongsi pengalamannya berdasarkan maklumat dari Allahyarham Aziz Sattar yang memberitahu tentang pertanyaan P. Ramlee, sama ada orang akan mengingatinya nanti.
“Saya mengambil perspektif yang berbeza tentang P. Ramlee kerana tidak ada pengalaman menonton filem P. Ramlee di pawagam dengan bercerita tentang hasratnya untuk membuat kajian tentang seniman agung ini kepada penyelianya di sebuah universiti luar negara dengan menunjukkan adegan dari filem Semerah Padi tentang watak wanita perkasa yang dipaparkan dalam karya tahun 1956 yang tidak mungkin boleh dipersembahkan dalam sinema British ketika itu yang mengkagumkan beliau,” kata Mahyuddin.
Menurutnya lagi, dalam naratif filem-filem komedi P. Ramlee dipersembahkan tentang perbezaan kelas orang Melayu dan kaum-kaum dengan menggunakan perwatakan yang sama seperti dalam trilogi Bujang Lapok menyebabkan tema kelas dan perubahan sosial yang tajam ditumpulkan yang bukan secara serius untuk merombak dan mengubah sistem sosial yang ada tetapi ditegur dengan sinis.
“Misalnya dalam Bujang Lapok ketika awal pasca kemerdekaan dengan membangkitkan sistem kelas masyarakat yang mempunyai pendidikan yang rendah manakala dalam Pendekar Bujang Lapok P. Ramlee menghantar bukang lapuk untuk belajar mendalami ilmu pengetahuan yang buta huruf dan menghadapi persaingan, sekaligus menunjukkan bagaimana pentingnya pendidikan dalam menghadapi konflik kelas hidup masyarakat dalam filem komedi dan melodrama dengan menekankan kepada penghujung naratifnya berlaku mobiliti sosial,”kata Mahyuddin lagi.
Jelasnya lagi, dalam filem-filem P. Ramlee struktur masyarakat perlu dipertahankan tetapi mengupas dan memajukan kritikan yang tidak radikal setakat yang dibenarkan dalam sistem sosial yang dibenarkan ketika itu.
“P. Ramlee akan kekal sebagai ikon dalam konteks masyarakat dan kematiannya meninggalkan kekosongan yang tidak akan dapat diisi yang menandakan kematian seorang bintang serta menandakan runtuhnya sistem studio dan berakhirnya sinema filem popular di negara ini sekaligus menjadi satu fasa penting sebagai ikon masyarakat dengan audien yang bukan setakat tahun lima puluhan tetapi sepanjang zaman,” kata Mahyuddin. - Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 7107