USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HAAKUSM MANFAAT HASIL KUTIPAN AMAL UNTUK MENAMBAH BAIK KEMUDAHAN SEKOLAH

untitleduhui

PULAU PINANG, 13 Mei 2016 - Hasil kutipan amal sempena Program Assalamualaikum Cinta 3.0 Dan Konvensyen Anak Muda telah dimanfaatkan secara sepenuhnya oleh Himpunan Anak-Anak Kelantan Universiti Sains Malaysia (HAAKUSM) dengan mewujudkan kelas baharu (kelas terapi) dan penyerahan penghawa dingin kepada Sekolah Menengah Tan Sri P. Ramlee.

Idea untuk menjalankan program yang bersifat murni ini telah dicetuskan oleh guru praktikal Sekolah Menengah Tan Sri P. Ramlee yang merupakan mantan majlis tertinggi HAAKUSM untuk kebajikan dan keselesaan 25 pelajar pendidikan khas.

Penasihat HAAKUSM, ASP (KS) Zulkifli Che Hussin berkata usaha murni untuk menyediakan kelas terapi dan penyerahan penghawa dingin kepada Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee ini merupakan kesinambungan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar-pelajar pada masa akan datang.

untitledbhhug

“Kem Motivasi Peringkat Negeri Kelantan menjadi aktiviti tahunan kami dengan memberikan motivasi kepada pelajar tingkatan enam yang akan menghadapi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sekaligus membuktikan HAAKUSM sentiasa menitikberatkan ilmu pendidikan,” katanya semasa merasmikan kelas baharu (kelas terapi) dan penyerahan penghawa dingin kepada Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee.

Tambahan lagi, HAAKUSM dalam proses untuk menambah baik kemudahan infrastruktur bercadang untuk menyumbangkan enam buah komputer kepada sekolah Tan Sri P. Ramlee seiring dengan perkembangan teknologi.

“Kami dari barisan HAAKUSM bercadang menjadikan Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee sebagai anak angkat Himpunan Anak-Anak Kelantan dalam agenda akan datang supaya usaha murni ini dapat diteruskan dan diketengahkan oleh persatuan lain dalam USM,” katanya.

Manakala Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee, Dr. Zuhair Bin Zainal berkata, program ini merupakan satu insentif yang baik untuk membolehkan siswa siswi USM menyahut cabaran untuk melihat sendiri realiti dunia pendidikan khususnya proses pembelajaran pelajar dari Program Pendidikan Khas Integrasi.

untitledn

“Kejayaan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM harus dipuji kerana mampu menghasilkan bakal guru yang berkualiti dari segi ilmu, kemahiran, dan komitmen dalam bidang pendidikan selaras dengan kriteria yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan mampu bersaing dalam industri,” katanya.

Yang turut hadir dalam program ini adalah Pengerusi Rancangan Sarjana Muda Pendidikan Khas Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Dr. Aznan Che Ahmad; Penyelia Latihan Mengajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Dr. Haji Norawi Bin Ali; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee, Puan Noormala Binti Mohd Noor; Pengerusi HAAKUSM, Saudara Munzir Bin Khalid dan wakil dari HAAKUSM.

Teks/Foto: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)

  • Created on .
  • Hits: 1258

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024