USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FESTIVAL KEDAH TUA 2016: DEDAH KEISTIMEWAAN TAPAK TAMADUN AWAL DI ASIA TENGGARA

13178587 1078346512226381 336577333606596189 n

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), dan Jabatan Warisan Negara (JWN) bersama kerajaan negeri Kedah, Koridor Utara Malaysia, Persatuan Pelancongan dalam Malaysia (MITA) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia akan menganjurkan Festival Kedah Tua (FKT) bagi mendedahkan keistimewaan dan keunikan Sungai Batu sebagai tapak tamadun terawal di Asia Tenggara.

Hasil daripada kajian sejak 2007 telah berjaya melengkapkan data tamadun Kerajaan Kedah Tua. Bukti di Sungai Batu mendedahkan tamadun Sungai Batu telah berlangsung sejak tahun 535 Sebelum Masihi sehingga kurun ke-17 Masihi.

“Bukti ini ditemui dalam bentuk tapak peleburan besi dan tapak monument seperti tapak penyembahan, tapak jeti atau pelabuhan dan tapak pengurusan pelabuhan dan ini menunjukkan satu kompleks tamadun yang mempunyai susunatur sosial yang lengkap dan tinggi, maka Sungai Batu adalah tamadun tertua di Asia Tenggara,” kata Pengarah PPAG, Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin.

“Oleh yang demikian, FKT dianjurkan selain untuk mendedahkan keistimewaan  Sungai Batu ianya juga untuk persediaan penulisan Dossier Pencalonan Sungai Batu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menjadikan satu pusat ilmu dan latihan dunia tentang tamadun awal,” tambah Mohd Mokhtar.

FKT akan melibatkan dua program utama iaitu Pesidangan Antarabangsa Kedah Tua atau Kedah Tua International Conference (KTIC’16) dan Festival di tapak Sungai Batu, Kedah.

KTIC’16 akan diadakan di Hotel Park Avenue, Sungai Petani bermula 21-22 Mei dan seramai 29 orang pembentang antarabangsa telah dijemput termasuk pakar tamadun Mesopotamia, Mesir, Indus, China, Yunani-Rom dan Mesoamerika, di samping pakar tamadun di setiap negara Asia Tenggara. Penyertaan seminar KTIC’16 boleh melalui laman web ktic-my.blogspot.com .

“Kesemua mereka akan membincangkan tamadun mereka di julat usia tamadun Sungai Batu (535 SM – Kurun Ke-17 Masihi) untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang keistimewaan dan sumbangan Sungai Batu kepada tamadun dunia,” kata Mohd Mokhtar.

“Manakala Festival di tapak Sungai Batu bermula 20-23 Mei 2016 meliputi lawatan berpandu ke tapak arkeologi, pameran arkeologi dan tamadun, jualan kraftangan, penyertaan dalam ekskavasi, membuat bata dan eksperimen peleburan besi, pertandingan, persembahan kebudayaan warisan, kenduri rakyat dan pelbagai lagi. Teks: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 1519

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024