CACAT PENGLIHATAN BUKAN HALANGAN UNTUK SAMBUNG BELAJAR DI UNIVERSITI
USM, PULAU PINANG, 13 Mei 2016 - Cacat penglihatan bukanlah satu halangan untuk Felicia Pui Jia Yin, 21, meneruskan pembelajarannya ke peringkat lebih tinggi.
Ditemui ketika menghadiri sesi temuduga untuk Ijazah Sarjana Muda Ekonomi baru-baru ini, Felicia berkata dia memilih Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyambung pelajaran kerana status sebagai universiti APEX.
“USM sememangnya sangat terkenal dengan kualiti pendidikan dan jika berkesempatan saya ingin melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah.
Berasal dari Miri, Sarawak, Felicia terpaksa berpindah ke Pulau Pinang untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik disebabkan masalah penglihatan yang dihadapinya.
“Semasa saya berusia 15 tahun, kawan ayah memperkenalkan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George di sini yang menawarkan kemudahan seperti pembelajaran untuk membaca braille kerana khidmat dan kepakaran braille tidak ditawarkan di Sarawak,” jelas Felicia.
Felicia tidak dapat belajar secara formal di sekolah seperti pelajar lain di peringkat sekolah rendah lagi kerana tiada kemudahan dan kepakaran yang disediakan di Sarawak untuk mereka yang cacat penglihatan.
“Melalui deria pendengaran, saya akan mendapatkan ilmu melalui buku yang dibaca oleh ibu semasa saya tidak dapat belajar ketika sekolah rendah,” tambahnya yang berjaya mendapat keputusan cemerlang PNGK 4.00 dalam STPM baru-baru ini.
Ibu Felicia, Teresa Wong Mee Yieng, 55, berharap agar anaknya kekal sihat dan sentiasa berazam untuk menjalani pengajian di universiti dengan baik.
Teks: Nor Khamisah Saidin (Pelajar Internship USM) / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 855