DORONGAN GURU IDOLA ALUMNI USM SEBAB UTAMA SAMBUNG BELAJAR DI USM
USM, PULAU PINANG, 12 Mei 2016 – Mengikut saranan guru yang menjadi idolanya sewaktu sekolah, Nurul Atikah Mohd Jamil, 20, nekad memilih Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pilihan pertamanya.
Menurutnya beberapa orang dalam kalangan gurunya adalah alumni USM, dan dia kagum dengan kredibiliti mereka sebagai tenaga pengajar yang banyak membantu sewaktu di sekolah.
“Saya meletakkan USM di pilihan pertama sebagai menara gading yang ingin dituju kerana didorong oleh guru saya. Beliau mengesyorkan saya ke sini kerana dia turut menyambung pengajian di peringkat sarjana secara pengajian jarak jauh di USM.
“Sepanjang tempoh pembelajaran, guru-guru adalah penasihat dan pembakar semangat kami. Oleh itu universiti ketika mereka menuntut ilmu mempengaruhi kami sewaktu memilih hala tuju selepas tamat STPM,” jelasnya.
Berasal dari Sungai Kup, Kedah, pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ini hadir bagi sesi temuduga di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dalam pengkhususan Kerja Sosial.
Minatnya dalam pengkhususan ini juga timbul selepas diberikan pencerahan oleh guru-gurunya.
“Syukur ke hadrat ilahi jika saya berjaya melepasi temuduga ini kerana saya berkeinginan untuk merasai peluang menjadi penuntut USM. Persekitarannya yang hijau dan cantik menarik perhatian saya dan juga keluarga sepanjang perjalanan ke sini,” katanya.
Teks: Nur ‘Izzah ‘Atira bt Muhamad Nazmi (Pelajar internship USM)
- Created on .
- Hits: 821