USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JURURAWAT PERLU JADI YANG TERBAIK

BERTAM, 12 Mei 2016 - Jururawat di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) diingatkan agar menyematkan semangat dalam diri untuk menjadi yang terbaik dalam bidang kejururawatan.

Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Muhamad Yusri Musa berkata, jururawat perlu ikhlas dalam melaksanakan tugas dan mempunyai semangat untuk memajukan diri dalam kerjaya yang diceburi.

“Jururawat perlu keluar dari zon selesa dengan bersaing sesama sendiri dalam memperolehi ilmu kejururawatan. Setiap dari mereka perlu mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam merawat pesakit,” katanya.

Tambahnya, dalam menghadapi cabaran, jururawat perlu terus berdaya saing kerana setiap pesakit yang mendapatkan rawatan memberi penilaian kepada jururawat dan kesannya memberi impak yang besar terhadap sesebuah institusi atau pusat perubatan berkenaan.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2016 peringkat IPPT di sini pagi tadi.

Sambutan ringkas bertemakan 'Nurse: A Force for Change: Improving Health System Resilience' (Jururawat: Kuasa untuk Perubahan: Menambah baik Ketahanan Sistem Kesihatan) menghimpunkan hampir kesemua 142 orang jururawat tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada pesakit.

Yusri turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh jururawat sepanjang tahun lalu yang banyak menerpa kejayaan-kejayaan besar dengan mengharumkan nama institusi ini dan nama USM khususnya.

Yusri turut mengajak semua jururawat untuk bersama-sama membangunkan perkhidmatan di IPPT dengan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Seksyen Onkologi, Radiologi dan Perubatan Nuklear, Dr. Muhamad Zabidi Ahmad; Ketua Seksyen Farmasi, Md. Hisham Abd Razak dan pegawai-pegawai perubatan IPPT.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 873

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024