PENERIMA PROGRAM APEX SCHOLAR MENJADI KAYU UKUR KEBERHASILAN PROGRAM APEX
USM, PULAU PINANG, 12 Mei 2016 - Program Apex Scholar telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Program Apex USM setelah USM diiktiraf sebagai Universiti APEX (Accelerated Programme For Excellence) pada tahun 2008 sekaligus mengorak langkah USM ke arah menjadi sebuah universiti yang tersohor dan setanding dengan universiti terbaik di dunia.
Penerima Program Apex Scholar, Siti Zulaikha Binti Zakaria, 22, berkata dia sangat terkejut dan gembira apabila diumumkan sebagai salah seorang calon yang terpilih Program Apex Scholar dalam kalangan lebih daripada 200 calon yang memohon.
“Pemilihan yang ketat dan kompetitif telah dibuat berdasarkan kepada merit akademik dan kriteria lain yang dilaksanakan secara holistik termasuk melalui sesi temu duga. Soalan temu duga sangat mencabar bukan kerana calon memerlukan pembacaan teori yang banyak, tetapi bagaimana otak dan daya kognisi calon dapat berfungsi untuk dapatkan jawapan yang paling kreatif,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Tambahnya lagi, calon terpilih bagi Program Apex Scholar merupakan model universiti dan secara tidak langsung menjadi kayu ukur tentang keberhasilan program Apex.
“Program ini diharapkan akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia merupakan satu platform untuk mencungkil kebolehan dan kemampuan siswa siswi dalam aspek emosi, jasmani, rohani dan mental,” katanya.
Seorang lagi pelajar tahun kedua dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Nur Fatiehah Bt Abd Manaf, 22, berkata saingan yang sengit menyebabkan tidak terlintas langsung di fikirannya untuk menjadi salah seorang penerima Program Apex Scholar.
“Program Apex Scholar merupakan insentif yang sangat baik kerana bakal melatih keberanian, kepimpinan para pelajar serta keyakinan yang tinggi selain menekankan nilai-nilai Apex yang bersesuaian dengan USM sebagai universiti berstatus Apex”, katanya.
Tambahnya lagi, dia mengharapkan sesuatu yang luar biasa dan berlainan dari program ini kerana program ini turut melibatkan kerjasama dari negara luar seperti Australia, Thailand, dan sebagainya.
“Program ini juga memberi banyak kelebihan kepada pelajar itu sendiri termasuklah penginapan desa secara automatik tanpa perlu memohon setiap kali habisnya sidang pengajian,” katanya.
Fatiehah berharap siswa siswi USM akan rebut peluang untuk memohon program ini sekiranya program ini masih diteruskan pada sidang depan kerana melalui program ini kita mampu mengubah diri untuk menjadi mahasiswa abad ke-21 yang berjiwa kental dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran.
Teks: New Gaik Siew (Pelajar Internship USM)
- Created on .
- Hits: 1368