USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT HIGHER EDUCATION PLANNING NETWORK THAILAND
USM, PULAU PINANG, 12 Mei 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat sejumlah hampir 95 orang pegawai dan staf akademik dari Higher Education Planning Network Thailand kelmarin.
Barisan pegawai tinggi dan staf akademik dari 25 buah Institut Pengajian Tinggi Thailand berkumpul bagi menghadiri sesi taklimat dan perkongsian kepakaran oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meningkatkan kualiti pendidikan kedua-dua buah negara.
Bercakap ketika meraikan kehadiran delegasi tersebut, Pemangku Naib Canselor yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, kehadiran pegawai-pegawai utama dari institusi berkenaan adalah penghormatan buat USM atas pemilihan mereka untuk hadir berkongsi ilmu di sini.
“Saya amat mengalu-alukan kehadiran semua delegasi yang sudi berkunjung ke USM bagi berkongsi sedikit sebanyak dasar pengurusan universiti yang diamalkan untuk digembeling bersama demi kemajuan pendidikan di Thailand dan Malaysia secara keseluruhannya.”
Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi (BPI), Profesor Dr. Phua Kia Kien; Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Dr. Azman Samsudin; Ketua Penolong Bendahari, Jabatan Bendahari, Iza Rahayu Abd Rahim dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Noriah Mohamad yang berkongsi perihal urustadbir jabatan masing-masing.
Manakala pihak Higher Education Planning Network Thailand pula diketuai oleh Asst. Profesor Dr. Wasan Kanchanamukda daripada Thaksin University.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 717