NAIB CANSELOR UCAP TAHNIAH DAN PENGHARGAAN
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan disambung perkhidmatannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
"Universiti juga terhutang budi dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr. Susie See Ching Mey yang telah banyak berjasa dengan melakukan transformasi dalam mengukuhkan usaha jaringan industri dan masyarakat termasuk pewujudan jaringan-jaringan sedunia dalam usaha ini," kata Omar yang masih dalam lawatan kerja rasmi di Republik Czech dan United Kingdom.
Beliau percaya pengalaman yang ada pada Susie See Ching Mey akan dapat dimanfaatkan secara berterusan dalam membantu universiti menghadapi cabaran masa hadapan.
"Saya juga yakin pengalaman luas Abdul Rahman dalam kolaborasi dengan industri dan masyarakat mampu meneruskan usaha dan komitmen universiti selama ini di samping menerokai peluang baharu dengan memperkasakan penglibatan akademia dengan industri dan industri dengan universiti secara berterusan," tambah Omar.
Tegasnya lagi, penyambungan tugas Muhamad Jantan pula akan berupaya meneruskan kerja-kerja dalam Penyelidikan dan Inovasi yang memerlukan pengalaman, jaringan dan pemikiran untuk USM menghadapi masa hadapan.
(MOHAMAD BIN ABDULLAH)
Pengarah
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Universiti Sains Malaysia
- Created on .
- Hits: 1162