RADANG USUS BOLEH DIRAWAT – KATA PAKAR
KUBANG KERIAN, 8 Mei 2016 – Penyakit radang usus atau “Inflammatory Bowel Disease” adalah salah satu jenis penyakit yang berkait rapat dengan sistem imun badan tetapi masih ramai yang tidak mengetahuinya.
Sebagai contoh, penyakit asma sering dikaitkan dengan tindakbalas imun badan pada sistem pernafasan. Dalam kes penyakit radang usus pula, sistem imun badan yang tidak terkawal menyerang sistem pemakanan dan secara amnya ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Crohn’s Disease’ yang boleh berlaku pada mana-mana bahagian saluran pencernaan ataupun ‘Ulcerative Colitis’ yang tertumpu kepada usus besar.
Menurut Pakar Gastroenterologi dan Perubatan Dalam, Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazri Mustaffa ketika ditemui selepas Rancangan Doktor Di Radio berkata, simptom atau gejala penyakit ini bergantung kepada tahap penyakit antaranya akan berlaku pendarahan dalam usus semasa membuang air besar dan juga boleh menyebabkan kerosakan dalam sistem penghadaman pesakit jika tidak dirawat di peringkat awal.
“Secara kasarnya penyakit ini ada kaitan dari segi genetik, keadaan persekitaran yang boleh terdedah kepada kuman dan faktor pemakanan ala barat juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada radang usus tetapi ini masih di peringkat kajian.
“Radang usus di Malaysia masih lagi dalam kajian kerana masih lagi di peringkat awal tetapi jika tidak dibendung dari awal, ia akan menjadi bahaya bagi tempoh jangka masa panjang dan jika dilihat di Eropah seramai 500 orang penghidap daripada 100,000 penduduk dalam kajian yang lepas,” katanya.
Tambahnya, siasatan bagi penyakit ini adalah dengan bertanyakan kepada pesakit, pemeriksaan darah atau yang lebih berkesan adalah dengan rawatan Endoskopi iaitu dengan mengambil tisu di kawasan yang terlibat.
“Bagi rawatan pula, ia bergantung pada tahap penyakit ini dan buat masa sekarang, masih tiada rawatan yang khusus tetapi ada ubat yang dapat mengawal penyakit ini supaya tidak menjadi semakin parah.
“Bagi wanita yang ingin hamil atau sedang hamil pula, jika berlaku kerosakan pada usus kemungkinan zat-zat nutrisi tidak dapat diserap dengan baik dan ini akan mengganggu proses kehamilan,” jelasnya.
Tambah Nazri lagi, mereka perlu mengambil ubat dengan tatacara yang betul tetapi perlu diingat kerana ada ubat yang berkemungkinan memberi kesan tidak baik sama ada semasa hamil atau selepas melahirkan bayi.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang beranggapan radang usus adalah disebabkan oleh angin, salah makan tetapi beliau menasihati supaya datang berjumpa doktor kerana jika radang tersebut berterusan kemungkinan usus akan rosak berkekalan atau jika radang tidak terkawal ia juga boleh menyebabkan pertumbuhan kanser.
Teks/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria
- Created on .
- Hits: 28280